Azhan, 43, ang popular dengan watak Ustaz Hamadi menerusi drama bersiri Nur bersama-sama 27 pendaki termasuk lima pengamal media akan memulakan misi sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 selama 16 hari mulai hari ini sehingga 16 September depan.

Mereka menggalas cabaran untuk mengibarkan Jalur Gemilang gergasi setinggi enam meter dan 12 meter lebar serta berat 11 kilogram di EBC yang berketinggian 5,364 meter dari aras laut.

Ekspedisi pendakian anjuran Summit Attack Resources (SAR) yang diketuai Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa itu turut disertai enam pendaki dari Brunei.

Mohd. Fakhrul yang juga Pegawai Bomba dari Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bahru berkata, antara cabaran utama yang akan dihadapi pendaki adalah keadaan cuaca dan suhu serta risiko diserang penyakit akut gunung atau altitude mountain sickness (AMS).

“Kami perlu mendaki bermula di paras ketinggian 2,700 meter dari Lukhla selama 12 hari sejauh sekitar 130 kilometer (km) pergi dan balik.

“Kami akan memulakan pendakian lapan hari untuk sampai ke EBC bermula pada 2 September ini dengan purata berjalan sejauh sekitar 15km  sehari. Jika cuaca baik, misi mengibar Jalur Gemilang di EBC akan direalisasikan pada 10 September ini.

“Setakat ini semua pendaki sudah melakukan persiapan fizikal dan mental dengan mengadakan latihan termasuk mendaki gunung dalam serta luar negara sejak beberapa bulan lalu,” katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang gergasi oleh Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Fakhrul juga berkata, peserta ekspedisi yang mahu mempromosi amalan gaya hidup sihat dan menyemarakkan sambutan kemerdekaan sebagai rakyat Malaysia juga akan mendaki Gunung Kala Patthar setinggi 5,545 meter.

Sementara itu, Lam Thye berkata, kumpulan ekspedisi yang disertai peserta pelbagai latar belakang, pekerjaan dan usia tersebut perlu dijadikan model contoh kerana mampu bekerjasama demi untuk menjayakan misi ke EBC.

“Perpaduan dan kerjasama yang erat tanpa mengira latar belakang sudah pasti memberikan hasil yang terbaik seperti apa yang dapat kita lihat di dalam pembentukan negara Malaysia,” katanya.

Sesuai dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-62, Lee yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Negara (NIOSH) berharap anggota ekspedisi tersebut mampu melakar sejarah mengibar Jalur Gemilang gergasi di EBC. - K! ONLINE