Azar atau nama lengkapnya, Siti Azar Ameerah Azmi yang ditemui Kosmo! pada sidang akhbar teater arahan Erma Fatima itu berkata, dia bersedia untuk menjayakan watak tersebut dan tidak takut dengan risiko dibenci gara-gara lakonan.

Menurut figura jelita ini, untuk menjayakan watak Permaisuri Tishaku yang berjiwa zalim, dia sedikit sebanyak mengambil inspirasi daripada watak Maleficent yang pernah direalisasikan aktres handalan Hollywood, Angelina Jolie.

Pertama kali berlakon teater, Azar tidak menafikan peluang bekerjasama dengan pengarah hebat, Erma Fatima merupakan alasan utama persetujuannya terlibat dalam teater berkenaan.

Kosmo!: Apakah perbezaan watak Permaisuri Tishaku dengan watak-watak antagonis lain yang pernah Azar jayakan sebelum ini?

AZAR AZMI: Watak Permaisuri Tishaku sangat berbeza kerana impak melakonkannya, tempias antagonisnya melekat pada diri saya. Watak ini jahat yang sangat luar biasa. Tambahan pula, ini merupakan lakonan teater pertama saya dan sudah tentu pengalaman atas pentas berbeza ketika berada di set penggambaran.

Apakah cabaran yang terpaksa anda tempuhi untuk menjayakan watak berkenaan?

Saya harus melontarkan dialog dalam bahasa Melayu klasik iaitu sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Saya perlu mengetahui jalan cerita daripada A sampai Z kerana kalau seorang lupa bahagian atau dialog, ia akan mencacatkan keseluruhan cerita. Tetapi saya tidaklah sampai perlu menari dan bersilat seperti watak yang dijayakan Janna Nick.

Apa atau siapa yang menjadi rujukan anda untuk menghidupkan watak Permaisuri Tishaku?

Saya menonton filem Maleficent banyak kali. Hal ini kerana watak yang saya lakonkan itu dari negara luar dan pegangan agamanya juga tidak diketahui. Permaisuri Tishaku juga akan menyaksikan saya menggayakan kostum khas dan seperti yang saya katakan tadi, ia menggunakan bahasa baku atau Melayu klasik. Untuk menjayakan watak ini, saya membayangkan karakter Maleficent. Tiada kuasa sakti, namun Tishaku sangat berkuasa malah berkuasa daripada suaminya yang merupakan seorang raja.

Mengapa anda bersetuju untuk terlibat dengan naskhah ini memandangkan komitmen menjayakan sesebuah pementasan teater agak memenatkan?

Saya banyak dengar orang cakap, ilmu berlakon teater tidak sama dengan ilmu berlakon drama televisyen. Saya mahu mencabar diri melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Dalam pada itu, saya sudah lama bercita-cita ingin berlakon di bawah arahan Erma Fatima. Akhirnya, impian jadi nyataan melalui teater ini. Teruja juga melihat barisan pelakon yang terlibat. Kebanyakan mereka sudah mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang seni teater.

Acapkali melakonkan watak antagonis, tidakkah anda takut jika anda dicop wanita jahat?

Setakat ini, saya okey. Saya bersedia dengan sebarang kecaman dan saya percaya dengan kewibawaan Erma Fatima untuk menjadikan naskhah ini suatu perkara yang membuka mata orang ramai. Apa pun, mulut penonton tidak boleh ditutup. Bagaimanapun, saya berjanji untuk memberikan yang terbaik dalam setiap lakonan.