SELAMA ini, Ayda Jebat hanya diberi kepercayaan untuk menggalas watak protagonis yang menyebabkan khalayak menyantuni tugasnya sebagai seorang pelakon.

Sebagai contoh, Ayda begitu cemerlang mendukung watak Armel Aisya menerusi Rindu Awak 200%, Eryna Hazwan (Suami Sebelah Rumah) serta Sofiya dan Alyssa (Dekatkan Jarak Kita).

Baru-baru ini, Ayda turut menerima pujian menggunung daripada penonton kerana berjaya menghidupkan kisah gadis bisu bernama Ilya menerusi telefilem Aku Nazmi dan Saida, seorang wanita penghidap kanser Limfoma menerusi Retak.

Begitupun, laluan seni dramatis berusia 26 tahun itu sedikit berbeza apabila dia membawakan watak Aryana menerusi drama bersiri terbaharu lakonannya, Cinta Bukan Kristal.

Menerusi naskhah yang turut menampilkan Sharnaaz Ahmad dan Nina Iskandar itu, Ayda mencuit kewarasan penonton secara halus dengan menzahirkan karakter seorang wanita bujang yang mendambakan kasih seorang lelaki bergelar suami.

Sudah sebulan ditayangkan menerusi slot Akasia, TV3, kebencian penonton terhadap Aryana semakin menjadi-jadi. Menerusi platform Twitter, Aryana teruk ‘dibakar’ dengan kata-kata sinis, gara-gara perilakunya terhadap Adrian (Sharnaaz) yang dikatakan agak melampau.

Sungguhpun dilempar dengan komen yang kurang enak, namun, akui Ayda, masih ada sebilangan kecil penonton yang memberikan reaksi positif dan tidak menyalahkan Aryana seratus peratus.

“Saya faham, ramai yang menyelar watak Aryana kerana dia dilabel sebagai perampas dan perosak rumah tangga. Tetapi, dalam masa yang sama, ada juga yang menyebelahi Aryana kerana dia terjebak dalam cinta tiga segi tanpa disengajakan.

“Kalau diikutkan, respons penonton dalam laman sosial agak bercampur-baur. Jadi, saya boleh letakkan Aryana di tengah-tengah iaitu dibenci dan disukai,” katanya membuka bicara.

Menurut Ayda, watak Aryana yang dibawakannya dalam Cinta Bukan Kristal bukan sekadar watak kosong. Anak jati negeri Melaka itu berkata, dia percaya bahawa watak Aryana telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap masyarakat, khususnya untuk wanita bujang dan pasangan suami isteri.

“Sukar untuk meletakkan justifikasi terhadap watak Aryana. Apa pun kisah di sebalik masalah rumah tangga, khalayak tetap akan melabel orang ketiga sebagai perosak hubungan walaupun pesalah utamanya mungkin terletak pada sang suami atau isterinya.

“Saya mahu tunjukkan bahawa orang ketiga itu tidak selalunya jahat dan gatal. Kita tidak boleh terus menghukum tanpa mengetahui perkara sebenar,” kata Ayda yang mengakui agak gentar membawakan watak Aryana saat pertama kali menyatakan persetujuan menjayakan Cinta Bukan Kristal awal tahun lalu.

Bukan klise

Jika dilihat pada gaya lakonannya dalam Cinta Bukan Kristal, Ayda memainkan watak Aryana secara bersederhana.

Tanpa memerlukan olesan mekap yang tebal, babak berpegangan tangan melampau atau mimik muka menggoda, penonton tetap panas hati melihat cara Aryana menarik perhatian Adrian.

Cuba lari daripada watak perampas yang tipikal, Ayda sendiri banyak memberikan idea untuk mengubah beberapa perkara jika babak yang ingin dijayakan kelihatan agak keterlaluan.

“Memang saya nampak bersahaja ketika di layar kaca, hakikatnya, membawakan watak Aryana merupakan satu tugasan yang agak mencabar.

“Saya tidak memegang watak perampas biasa yang mungkin hanya mahu meniduri suami orang. Tetapi, saya menjayakan karakter Aryana yang inginkan perhatian selepas jatuh cinta dengan lelaki yang baik terhadapnya,” katanya.

Bercerita pula mengenai kebarangkalian jika Cinta Bukan Kristal disambung ke musim kedua, Ayda mempunyai jawapan tersendiri.

“Jika melihat pada pengakhirannya, drama ini mungkin boleh disambung. Tetapi, saya berharap agar ia dibiarkan tamat begitu sahaja.

“Saya lebih suka jika diberikan peluang untuk menjayakan drama lain dengan isu berbeza daripada mengulang cerita yang sama untuk musim baharu,” katanya jujur.

Ditebak spontan dengan soalan apakah yang akan dilakukan jika suatu hari nanti dia berada di tempat Aryana, Ayda agak keberatan untuk menjawab.

Kata Ayda, sepanjang menjalani penggambaran, dia banyak berfikir tentang masa depannya, terutama tentang perhubungan dan kemungkinan yang bakal berlaku jika dia terjebak dalam kisah seperti Aryana dan Adrian.

“Apabila saya membawakan watak Aryana, baru saya terfikir tentang isu-isu berkaitan perkahwinan. Apa yang akan berlaku jika saya meninggalkan kekasih untuk bersama dengan suami orang?

“Apa pula akan terjadi kalau isteri kepada lelaki yang saya cintai itu membenarkan saya berkahwin dengan suaminya. Adakah saya akan bersetuju dan okey jika digelar perampas?

“Saya tidak boleh komen banyak kerana tidak pernah melalui perkara sebegitu. Apa pun, saya harapkan, ia tidak akan pernah berlaku dalam hidup saya,” tegasnya.

Masyarakat

Beralih tentang perancangan kariernya selepas ini, Ayda meletakkan matlamat untuk mencuba watak-watak bersifat kemasyarakatan dalam naskhah lakonannya akan datang.

“Saya rasa, orang Malaysia sudah mula terbuka untuk menonton material yang lain daripada lain. Asalkan ia dekat dengan khalayak, pasti cerita yang ditayangkan bakal mendapat sambutan.

“Namun, ia berbalik semula pada keberanian produser dan stesen televisyen untuk menghasilkan karya seperti itu. Usah risau terhadap sambutan kerana penonton tetap akan menonton sebarang naskhah yang disajikan,” katanya.

Mahu menjentik minda penonton dengan sesuatu yang lebih bermanfaat, Ayda menjadikan drama bersiri mistik Anak Buluh Betong yang pernah disiarkan sekitar sembilan tahun lalu sebagai perbandingan.

“Sebagai contoh, kita boleh angkat kisah ilmu hitam dan sihir yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat.

“Latar tempatnya moden, dan mungkin boleh menjadikan industri hiburan sebagai subjek utama. Elemen mistik masih ada tetapi dimodenkan,” tutup Ayda.