Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat berkata, lagu yang berjudul Mana Ada Hati Yang Ingin Trus Disakiti tersebut didedikasikan khas kepada semua peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seninya.

"Kebiasaannya, saya mendapat hadiah daripada peminat sempena hari lahir, tetapi tahun ini saya lakukan sesuatu yang berbeza dengan menghadiahkan single balada kepada peminat.

"Peminat sudah lama menantikan karya sebegitu dan lagu tersebut merupakan dedikasi istimewa saya kepada mereka,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Dalam pada itu, Ayda berkata, peminat sering menginginkan dia merakamkan lagu bergenre balada sejak single Pinjamkan Hatiku yang diterbitkan beberapa tahun lalu mendapat maklum balas positif.

"Biarpun sebelum ini saya pernah muncul dengan lagu Pinjamkan Hatiku iaitu lagu duet bersama Adi Priyo, saya masih menerima permintaan daripada peminat untuk muncul dengan lagu balada.

"Saya berharap lagu ini dapat menjadi hadiah bermakna untuk mereka yang menantikan karya terbaru saya dan lebih istimewa, lagu ini dilancarkan pada hari lahir saya," kata Ayda.

Dicipta sendiri bersama komposer Indonesia, Irwan Simanjuntak, Mana Ada Hati Yang Ingin Trus Disakiti merupakan lagu tema untuk drama bersiri terbaru lakonan Ayda, Asalkan Dia Bahagia yang kini bersiaran di slot Akasia di TV3.

Drama tersebut menampilkan gandingan pertama Ayda bersama pelakon Shukri Yahaya.

Lagu tersebut telah mula diperdengarkan di saluran YouTube Ayda Jebat semenjak pukul 9 malam semalam dan bakal diluncurkan di semua pelantar digital bermula 29 Mac depan. - K! ONLINE