Penyanyi lagu Temberang itu dijangka mengadakan persembahan selama 30 minit menerusi penerbangan AirAsia AK5106 pada 8 Ogos depan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah.

Persembahan berkenaan adalah bersempena penganjuran Minggu Muzik Malaysia (MMM) 2019.

Ayda ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia berasa sangat teruja dengan peluang yang diberikan oleh pihak penganjur.

“Sejujurnya, saya tidak sabar untuk menantikan hari persembahan.

“Maklumlah, pertama kali menyanyi di ketinggian 38,000 kaki di aras udara, sudah pasti akan menjadi satu pengalaman yang sangat bermakna,” katanya.

Penganjur MMM 2019, Syvester Fan berkata, minggu muzik tersebut dianjurkan bertujuan menghubungkan orang ramai, jenama dan perniagaan secara bersama.

“Kami berbesar hati dengan kehadiran Ayda Jebat dan kumpulan rock, Shadow
Puppet Theatre dalam acara ini.

“Selain itu, kami juga berharap agar MMM 2019 dapat menghubungkan orang ramai selain jenama dan bisnes secara bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Persembahan tersebut dijangka bakal dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records sebagai persembahan muzik secara langsung di paras tertinggi.

Minggu Muzik Malaysia merupakan perayaan muzik tempatan yang berlangsung selama seminggu dengan edisi sulungnya bermula di sekitar Kuala Lumpur dari 9 hingga 15 September depan.

Maklumat lanjut mengenai MMM dan konsert di udara boleh didapati menerusi laman web www.mmm2019.my. - K! ONLINE