Masih tersentak dengan realiti yang mustahil untuk diputarkan kembali, Adira, 28, mengakui terkilan kerana tidak berkesempatan untuk melunaskan beberapa perkara yang pernah dijanjikan bersama ayahnya.

Katanya, timbul sedikit perasaan kesal dalam diri memandangkan masa yang ada selama ini tidak digunakan sebaik mungkin bersama ayahnya.

“Hubungan saya dengan arwah ayah tidak rapat. Hal ini kerana, ibu dan ayah mengambil keputusan untuk berpisah ketika saya masih dalam kandungan lagi. Justeru, saya memang jarang dapat meluangkan masa bersamanya.

“Selepas ayah sudah tiada, sudah tentu saya berasa sedih. Lebih-lebih lagi mengenangkan kembali perkara-perkara yang tidak sempat dilakukan bersama ayah. Antaranya, saya tidak pernah beraya dengannya walaupun sekali,” ujar Adira ketika ditemui pada majlis pelancaran tudung Hermans X Adira di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebak menahan emosi, Adira berkata, arwah ayahnya juga tidak berkesempatan untuk bertemu dengan anak-anaknya iaitu Anggerik, 2, dan Assan yang kini berusia lapan bulan.

“Disebabkan saya sudah berumah tangga dan ayah pula tinggal jauh di Johor, saya memang tidak berkesempatan bertemu dengannya. Dia juga pernah menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan cucu-cucunya, tetapi tidak kesampaian.

“Saya agak menyesal kerana tidak dapat memenuhi permintaannya. Namun, apa yang pasti, saya akan sentiasa mendoakan kesejahteraannya di sana,” kata Adira lagi.

Belum sempat air matanya kering menangis pemergian ayahnya, Adira diuji sekali lagi apabila neneknya pula menghembuskan nafas terakhir.

“Ketika itu, saya berasa sangat-sangat sedih dan terkejut, lebih-lebih lagi dalam keadaan saya yang sedang sarat mengandung tujuh bulan. Disebabkan hal tersebut, saya berasa sangat sensitif apabila diajukan dengan soalan seperti ini.

“Justeru, apa yang boleh saya katakan adalah sentiasa mencari peluang dan waktu untuk bertemu orang tua. Lebih-lebih lagi jika mereka tidak duduk sebumbung dengan kita,” katanya sambil mengesat air mata.

Hamil

Beralih pada perihal peribadi, pemilik nama lengkap Siti Adira Suhaimi itu ditanya mengenai proses kehamilan yang dijalani sewaktu bulan Ramadan.

Menurut Adira, proses kehamilan ketiganya tidak jauh beza berbanding dua kehamilannya terdahulu.

“Sebenarnya tiada banyak beza jika mahu dibandingkan dengan kehamilan sebelum ini. Tambahan pula, kali ini merupakan kali kedua saya melalui proses kehamilan pada bulan puasa. Jadi, bukanlah satu masalah yang besar.

“Saya masih gagah berpuasa dan setakat ini, saya mampu untuk mengerjakan ibadah puasa tanpa sebarang masalah,” katanya.

Sungguhpun begitu, pemenang tempat kedua program nyanyian Akademi Fantasia 8 itu tidak memaksa dirinya jika dia tidak dapat menahan lapar sewaktu sedang berpuasa.

“Berpuasa ketika hamil merupakan hal yang sangat subjektif. Setiap wanita memiliki daya ketahanan badan yang berbeza dan kita sendiri perlu tahu keupayaan diri supaya tidak mendatang sebarang masalah jika berpuasa.

“Jika boleh tahan lapar, berpuasalah. Namun, andai kata tidak mampu untuk meneruskan ibadah puasa, kita boleh berbuka dan menggantikannya pada lain waktu,” kata Adira yang masih lagi bertenaga untuk menerima undangan nyanyian walaupun dalam keadaan yang sudah agak sarat.

Sewaktu Adira mengumumkan mengenai kehamilannya beberapa bulan lalu, ada kata-kata nakal yang menyifatkan penyanyi kelahiran Sabah itu tidak mementingkan kesihatan. Hal ini disebabkan jarak usia anak keduanya, Assan dan bayi dalam kandungannya terlalu dekat.

Namun, jawab Adira, dia tidak pernah melihat perkara tersebut sebagai satu kesalahan memandangkan anak merupakan rezeki daripada Allah.

“Saya sendiri tidak sedar tentang kehamilan ini sehinggalah usia kandungan mencecah lima bulan.

“Mungkin ada yang berkata saya tidak tahu menjaga badan. Tetapi, saya anggap ini sebagai rezeki,” tegas Adira.

Disoal adakah terbuka untuk mempunyai anak yang terlalu dekat jarak usia, ini jawapan Adira: “Ketika mereka masih kecil, mungkin agak susah. Tetapi, saya akan senang apabila mereka membesar dalam senggang masa yang hampir sama,” ulas Adira.

Tudung

Berkenaan dengan kolaborasinya dengan jenama tudung Hermanas X Adira, Adira berkata, kerjasama tersebut terjalin selepas dia beberapa kali membuat ulasan mengenai tudung Hermanas dalam akaun Instagramnya.

“Siapa kata ulasan dalam Instagram tidak membawakan sebarang hasil? Bagi saya, jika dilakukan dengan betul dan produknya bagus, ulasan tersebut mampu memberikan impak yang besar.

“Sebagai contoh, saya pernah membuat ulasan tudung Hermanas dalam Instagram. Selepas beberapa kali membuat ulasan, pemiliknya berpuas hati dengan maklum balas yang diterima.

“Jadi, mereka melamar saya untuk berkolaborasi bersama dan memasarkan koleksi khas Aidilfitri iaitu Hermanas X Adira,” katanya.

Bagaimanapun, tambah Adira, kolaborasi tersebut hanyalah sebuah kolaborasi yang singkat dan berjalan selama dua bulan sahaja.

“Setakat ini, kerjasama antara saya dengan Hermanas berjalan selama dua bulan iaitu khas untuk musim Aidilfitri.

“Tetapi, jika pihak Hermanas mahu menyambung kontrak dan meneruskan kerjasama, saya menerima dengan tangan yang terbuka,” katanya menutup perbualan.