Awie atau nama sebenarnya  Ahmad Azhar Othman, 51, berkata, seminggu sebelum konsert berkenaan berlangsung, dia diserang penyakit misteri sehingga mengakibatkan kedua-dua belah kakinya sukar untuk bergerak.

Menurutnya, setelah merasakan pergerakannya terbatas, dia bergegas mendapatkan rawatan ke hospital sebelum mencuba rawatan alternatif.

"Saya enggan kongsi kisah ini kerana tidak seronok. Sebelum ini saya sihat, tetapi kira-kira seminggu sebelum konsert kaki saya sakit. Saya baharu dua hari dibenarkan keluar dari hospital demi menjayakan konsert ini.

"Alhamdulillah berkat bantuan Allah, hari ini saya boleh berdiri. Sebelum ini saya langsung tidak boleh berdiri dengan sendiri," katanya ketika ditemui selepas tamat konsert semalam.

Ketika ditanya mengenai kebarangkalian pelantun lagu Sejati itu berkemungkinan menjadi mangsa sihir, Awie enggan mengulas lanjut.

Dia walau bagaimanapun mengaku tidak puas menghiburkan peminat dalam tempoh dua jam persembahan biarpun sedang menahan kesakitan.

"Saya tidak tahu mengenai perkara itu. Namun apa yang pasti, selepas melakukan pemeriksaan, doktor juga gagal mengenalpasti punca kaki saya membengkak," ujarnya.

Dalam pada itu, seramai 3,000 peminat hadir menyaksikan Konsert Laksamana Metal Wings x Bunkface di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam semalam.

Konsert yang juga diadakan bersempena 35 tahun Wings dalam industri hiburan tempatan menyaksikan Awie mendendangkan hampir 20 buah lagu termasuk lagu berhantu mereka iaitu Sejati dan Opera Hidup.

Di pentas yang sama, Wings turut bergandingan dengan Bunkface sekali gus menggabungkan antara muzik metal rock dan punk pada konsert berkenaan. - K! ONLINE