Kata Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 50, gangguan itu hadir siang dan malam tanpa mengira waktu sehinggakan isterinya menjadi takut andai perlu tinggal bersendirian di rumah.

“Gangguan dan penyakit misteri ini bukan baru sebab sudah 13 tahun saya mengalaminya tidak kira siang atau malam, kalau ‘benda’ tu nak datang dia akan kacau.

“Saya mula diganggu sehingga membuatkan saya bertongkat sejak tiga hari lalu. Apatah lagi mendapat tahu Hantu Kak Limah mencecah RM36 juta  di panggung, lagi ‘benda’ itu datang melawat,” ujar Awie ketika ditemui pada majlis meraikan kejayaan filem Hantu Kak Limah di Hotel Berjaya Times Square malam tadi.

Awie berkata, beliau pernah mencuba pelbagai rawatan termasuklah perubatan Islam bagi menghilangkan gangguan misteri tersebut.

“Saya ada ikhtiar dan esok lusa pun akan cuba lagi, mujur sakit ni datang masa saya tidak bekerja. Isteri saya pula diganggu sehingga dia selalu sering nampak ‘kelibat’ di rumah.

“Kita berusaha sampai berjaya hilangkan gangguan ni, kalau tunjuk ‘benda’ yang keluar dari badan saya memang ramai akan terkejut.

“Pelik kerana zaman sudah moden tetapi masih ada orang yang dengki dan hilang iman,” katanya yang enggan terlalu memperincikan tentang gangguan mistik itu. - K! ONLINE