Lebih manis, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, mengambil keputusan membotakkan kepala tepat sempena hari ulang tahunnya yang ke-50 pada 24 November lalu ketika berada di Tanah Suci Mekah.

Beliau menganggap tindakannya sebagai pengorbanan kecil menzahirkan kesyukuran terhadap nikmat kurniaan Tuhan sepanjang separuh abad hidup di dunia ini.

Awie yang ditemui pada majlis pelancaran telefilem Berani Jadi Papa baru-baru ini berkongsi pengalamannya kali pertama menunaikan umrah.

KOSMO!: Bilakah sebenarnya Awie berangkat menunaikan umrah?

AWIE: Saya berangkat menunaikan umrah pada 18 November lau dan pulang ke tanah air pada 29 November.

Ibadah ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Kelab Permotoran Wings Motor Gang Society (WGMS) yang telah melakukan jelajah ke 30 buah masjid kemudian diakhiri dengan menunaikan umrah.

Sekembalinya Awie daripada menunaikan umrah, anda membuat kejutan dengan imej botak, boleh kongsikan?

Sejujurnya, sepanjang keberadaan saya menunaikan umrah di Tanah Suci, tidak terlintas sedikitpun hasrat untuk membotakkan kepala.

Sehinggalah setelah saya menjejakkan kaki di Masjidil Haram, Mekah dan melihat Kaabah. Ketika itu, hati saya terdetik mahu melakukan pengorbanan sebagai tanda syukur.

Memandangkan sepanjang saya hidup, saya tidak pernah membotakkan kepala, jadi saya nekad.

Boleh Awie kongsikan, apakah perasaan sepanjang proses mencukur rambut?

Saya masih ingat, hari itu adalah hari lahir saya yang ke-50. Tepat pada pukul 1 pagi, sambil menutup mata, berselawat dan beristighfar saya membiarkan setiap helaian rambut gugur ke bumi. Perasaan ketika itu bercampur baur antara sedih, insaf dan bersyukur. Paling utama, saya tidak merancang untuk melakukan tindakan ini pada tarikh hari jadi saya. Saya yakin ini percaturan Allah.

Siapakah orang pertama yang terkejut dengan imej terbaharu Awie?

Orang pertama yang terkejut adalah diri saya sendiri. Bayangkan, selama 50 tahun tidak pernah botak, ini pertama kali. Hinggakan selepas mencukur rambut, hampir sehari saya tidak melihat cermin. Kali pertama saya melihat cermin ketika mengambil wuduk untuk menunaikan solat Subuh. Harap masih kacak.

Selain mencukur rambut, apakah pengalaman lain yang anda peroleh sepanjang menunaikan umrah?

Saya bersama jemaah lain melawat kesemua tempat yang pernah dijejaki junjungan Nabi Muhammad SAW di sana. Di setiap lokasi kami melakukan ibadah solat sunat.

Setiap kali solat sunat itu saya menangis. Tetapi pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah ketika berada di Taman Raudhah di Madinah. Ia umpama berjumpa dengan kekasih. Saya menangis tanpa henti di situ.

Difahamkan anda jatuh sakit selepas pulang daripada menunaikan umrah, apa yang berlaku?

Alhamdulillah sepanjang menunaikan umrah saya tidak didatangi sebarang ujian seperti demam atau selesema. Allah memudahkan ibadah saya. Cuma setelah pulang ke Malaysia, pada hari kedua saya mula demam dan sakit otot. Itu perkara biasa.

Ketika ramai artis berulang-alik menunaikan umrah, kenapa hanya pada usia 50 tahun barulah anda bersedia ke sana?

Ini bukan soal bersedia atau tidak. Ini mengenai ibadah dan panggilan Tuhan. Rasanya seru saya baru sampai untuk menjadi sebahagian tetamu Allah. Sedari imej saya dikenali sebagai artis jahat, jadi apabila artis jahat buat baik pasti ramai pertikaikan. Namun, saya ingin tegaskan, Awie sebagai artis dan Awie sebagai hamba Allah adalah berbeza.

Setelah tampil dengan imej baharu, bagaimana pula rencana kerjaya seni?

Saya berambut botak atau panjang, saya masih Awie yang sama. Saya sedar, diri ini bukan milik saya seorang. Kumpulan Wings masih menunggu saya untuk kami melakukan persembahan bersama-sama. Saya janji tiada apa-apa yang akan berubah.