Berita itu dikongsikan Atikah, 28, menerusi Instagramnya dengan berkata, dia dan Awi sudah berusaha keras untuk menjadikan impian bergelar suami isteri tercapai tetapi mungkin mereka belum cukup kuat mempertahankan hubungan yang dibina. 

“Dengan rasa berat hati, saya mengumumkan majlis perkahwinan saya dan Awi yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini dibatalkan. 

“Saya dan Awi sudah bekerja keras untuk hubungan ini tetapi mungkin saya belum cukup kuat untuk mempertahankannya,” katanya. 

Biarpun tidak mendedahkan sebab sebenar mengapa perkahwinan mereka dibatalkan, namun Atikah tetap berharap agar hubungannya bersama Awi akan kekal sebagai kawan baik seperti sebelum ini. 

“Saya berterima kasih kepada Awi kerana menjaga saya sepanjang menjadi tunangannya. Juga kepada keluarganya yang selalu bersama saya selama ini. 

“Kepada semua pihak yang telah banyak membantu untuk majlis kami, saya ucapkan terima kasih. Tetapi tidak ada rezeki. Mungkin Tuhan ada perancangan lebih baik untuk kami. 

“Sukar untuk saya menerima semua ini, tetapi inilah yang telah berlaku,” katanya. 

Terdahulu, Atikah dan Awi mengikat tali pertunangan pada 17 Mac tahun lalu di Singapura. - K! ONLINE