Ashraf, 36, mendedahkan ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Media Prima di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, dia jarang sekali mendapat tawaran melakonkan watak lelaki jahat barangkali disebabkan wajahnya yang lebih cenderung melakonkan watak lelaki baik.

Suami kepada dua isteri, Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi itu turut berkongsi keterujaan apabila anak keempatnya bakal dilahirkan sekitar bulan September depan.

Pelakon drama Mr. Boss Miss Stalker itu mempunyai tiga cahaya mata bersama kedua-dua isterinya iaitu Anas (anak Dayana,) Sarah dan Adam.

Mengulas tentang perkembangan seni terbaharu, Ashraf berkata, dia melalui syarikat miliknya, Al Hidayah Productions Sdn. Bhd. bakal muncul dengan filem bercorak islamik tahun hadapan.

KOSMO!: Boleh kongsikan perkembangan seni terbaharu Ashraf?

ASHRAF MUSLIM: Tidak banyak yang boleh saya kongsikan. Saya akan muncul dengan filem berjudul Musyrik mungkin dalam bulan September atau Oktober depan. Dalam filem tersebut, saya bergandingan dengan Ruhainies dan Aeril Zafrel. Ia sebuah filem seram seperti filem Munafik. Selain itu, saya akan muncul dalam sebuah drama arahan Rashid Sibir.

Maaf bertanya, anda sering melakonkan watak baik-baik seperti ustaz, tidakkah anda rasa bosan dan ingin mencuba sesuatu yang baharu?

Apa boleh buat kalau sudah itu rezekinya. Penerbit tengok muka macam ini seperti ustaz agaknya, jadi mahu buat macam mana. Kalau boleh, beri watak jahat dan saya bersedia menjayakannya. Sebenarnya, watak ustaz baru-baru ini sahaja saya dapat, mungkin produser sudah faham dengan status saya sebagai seorang suami dan bapa. Banyak perkara yang perlu saya jaga untuk terus kekal relevan dalam bidang ini namun saya okey sahaja kalau terus berlakon watak baik-baik seperti ustaz.

Adakah bidang lakonan masih menjadi punca rezeki utama anda atau bagaimana?

Prinsip saya mudah iaitu berlakon selagi ada tawaran dan tiada masalah untuk menjayakannya. Alhamdulillah, buat masa sekarang, masih ada tawaran berlakon. Selagi tidak melanggar prinsip atau status saya sebagai seorang suami dan bapa, saya okey sahaja. Bagaimanapun, bidang lakonan bukan lagi keutamaan buat saya. Saya juga sibuk menguruskan syarikat sendiri, Al Hidayah Productions Sdn. Bhd. Insya-Allah, tahun hadapan saya akan menerbitkan filem sendiri pula.

Boleh perincikan sedikit tentang penerbitan filem tersebut?

Ia sebuah filem bergenre cinta dan Islamik. Kalau tiada kekangan, penggambaran akan bermula pada tahun depan. Barisan pelakon masih lagi belum diputuskan termasuk pengarah.

Bukan saya yang mengarah kerana belum bersedia untuk ke arah itu. Saya tertarik untuk buat filem Islamik kerana terpegun dengan kehebatan drama Nur yang mencetuskan fenomena hebat dalam kalangan masyarakat. Sudah tiba masa di layar perak, genre seperti ini diberi kepada penonton.

Boleh kongsikan perasaan anda apabila bakal menyambut anak keempat tidak lama lagi?

Ia merupakan anugerah terindah buat dirinya dalam menjalani kehidupan sebagai seorang bapa. Alhamdulillah, kehidupan semakin bahagia dan insya-Allah saya bakal dikurniakan cahaya mata keempat daripada isteri kedua tidak lama lagi. Saya tidak boleh bekerja terlalu keras kerana isteri (Wan Sakinah) memerlukan saya dalam keadaan sekarang. Begitu juga isteri pertama saya, Dayana Lokman yang sentiasa memahami keadaan.