Menurut pemilik nama sebenar, Nur Anzalna Md. Nasir, 31, itu tawaran yang ditolak kebanyakannya merupakan kontrak ulasan produk kehamilan memandangkan dirinya kini sedang mengandung lima bulan.

Keputusan itu dibuat kerana orang ramai terpedaya atau mengalami sebarang risiko apabila menggunakan produk yang belum tentu keberkesanannya. 

“Saya tidaklah bersikap prejudis terhadap penjual produk terbabit kerana saya faham itulah punca pendapatan mereka dan masing-masing ada pendirian sendiri. 

“Cuma secara peribadi, saya tidak akan menerima sebarang tawaran membuat ulasan produk yang tidak saya gunakan. Apatah lagi saya bukanlah seorang yang percayakan pengambilan sebarang produk untuk hamil. Semua ini (kehamilan) datangnya daripada usaha sendiri dan doa tanpa henti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online. 

Kongsi bintang filem Sepah The Movie itu, selain dihujani tawaran membuat ulasan produk dalam media sosial menerusi gambar dan video, terdapat juga jenama yang menawarkannya menyertai kempen produk bayi dan kehamilan. 

“Ada beberapa tawaran yang saya terima hingga mencecah puluhan ribu ringgit, tetapi ulasan itu perlu dikongsikan bersama pengikut saya dalam tempoh berbulan-bulan menerusi kiriman gambar atau video.  

“Saya menolaknya kerana untuk apa berkongsi produk yang kita sendiri tidak guna. Dalam perkara seperti ini, saya sangat tegas dan tidak mahu menipu orang, lebih-lebih lagi penggunaan produk sebegini melibatkan organ dalaman,” ujarnya. 

Sebelum ini, Anzalna mengumumkan berita gembira mengenai kehamilan anak sulungnya di Instagram pada 9 Januari lalu.

Perkongsian tersebut sekali gus menamatkan penantian tiga tahun Anzalna yang mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Haniff Zaki pada 2016. - K! ONLINE