Mengakui apa yang berlaku pada ketika itu adalah di luar kuasanya, pelantun lagu Sedetik Lebih itu kini optimis untuk terus menghiburkan peminat setianya dengan listrik vokalnya yang mempesona. Anuar, 48, berkata kejadian tersebut membuat dirinya trauma namun sehingga kini, keyakinan dan tahap kesihatan vokalnya sudah pulih seperti sedia kala.

Sebagai permulaan buat tahun 2018, Anuar akan berkolaborasi dengan Bunga Citra Lestari dan Yuka Kharisma dalam sebuah persembahan diberi nama BCL, Anuar Zain & Yuka Kharisma Live in Concert di pentas berprestij, Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 April depan.

“Alhamdulillah, sebenarnya tahun lalu, saya agak trauma untuk menyanyi kerana berdepan masalah kehilangan suara pada saat konsert sedang hampir berlangsung. Saya mengambil masa beberapa bulan untuk pulih sepenuhnya termasuk dari segi keyakinan diri.

“Pada waktu itu, saya akui berasa amat murung kerana perkara yang berlaku memang di luar jangkaan. Namun, apa yang berlaku ada hikmahnya dan saya dapat berehat secukupnya,” ujar Anuar yang mendedahkan terpaksa menolak untuk menjayakan dua persembahan lain di Singapura dan ibu negara kerana tidak mahu mengambil risiko.

Jamin suara

Mengulas lanjut pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain itu berkata, dia sudah bersedia untuk menghiburkan peminat dan memberi jaminan akan mampu menyanyi malah melaungkan not-not bernada tinggi.

“Doktor sudah memberitahu bahawa vokal saya sudah okey. Tiada masalah untuk menyanyi seperti biasa atau melontarkan not-not bernada tinggi.

“Tahun 2018 akan menjadi tahun yang menarik buat saya. Jadi tidak perlu risau semuanya sudah kembali pulih. Tinggal lagi, saya perlu menjaga kesihatan dengan baik seperti mendapatkan tidur yang cukup dan kurangkan menghisap cerut,” katanya yang mengatakan mula menghisap cerut sejak enam tahun lalu.

Dijentik persoalan mengenai kerisauan dirinya barangkali ada peminat yang mula hilang kepercayaan terhadapnya apabila beberapa persembahan tahun lalu tidak menjadi kenyataan, Anuar mempunyai jawapan yang tersendiri.

“Saya sedar tanggungjawab besar terhadap peminat. Mereka faham keadaan saya tahun lalu dan saya mendapat banyak sokongan daripada para peminat.

“Saya buat konsert atau album bukan semata-mata untuk mencari keuntungan. Apa yang penting adalah kepuasan dalam kalangan peminat. Misalnya, konsert di Stadium Malawati beberapa tahun sudah pun, bukan keuntungan menyeluruh buat diri saya tetapi lebih kepada memberi yang terbaik kepada penonton yang hadir,” jelas Anuar.

Ditanya pada usia yang semakin bertambah, pernahkah dia berasa sudah tiada masa untuk mengundur diri, jawab Anuar: “Nyanyian adalah cinta utama saya dalam hidup. Saya tidak akan mengalah selagi diberi kudrat dan bakat ini. Insya-Allah, tahun ini saya akan memberi sehabis baik kepada peminat.”

BCL teruja

Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Indonesia, Bunga Citra Lestari atau lebih mesra disapa sebagai BCL mengatakan amat meminati nyanyian Anuar. Tuturnya, dia bangga dan berbesar hati untuk berkongsi pentas dengan penyanyi tersebut serta Yuka Kharisma.

“Hampir 10 tahun dikenali di Malaysia, saya tidak pernah mengadakan persembahan berskala besar di sini. Peluang menyanyi bersama Anuar dan Yuka adalah satu batu loncatan untuk saya melampiaskan rindu di negara ini,” jelas isteri kepada pelakon kelahiran Malaysia, Ashraf Sinclair itu.

Kongsi BCL, dia ingin sekali mengadakan konsert atau persembahan solo di Malaysia namun masih belum ditemukan peluang dan keyakinan untuk berbuat demikian.

“Kalau ingin membuat konsert solo, perlu perancangan yang rapi. Seperti konsert solo saya di Jakarta tahun lalu, saya mengambil masa selama enam bulan sebagai persediaan.

“Semestinya saya mahu mengadakan persembahan berskala besar di Malaysia. Saya tumpang bangga dengan rakan-rakan artis senegara seperti Datuk Rossa dan Afgan yang acap kali datang ke sini dan membuat konsert,” kata BCL, 34.

Sewaktu lancar melontar kata, BCL mendedahkan dia pernah hilang arah dalam bidang nyanyian apabila mentornya, Suwardi Widjaja meninggal dunia beberapa tahun lalu.

“Saya menganggapnya seperti bapa sendiri. Dia banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada saya untuk menjadi seorang penyanyi yang bagus.

“Apabila dia sudah pergi, saya hilang keyakinan untuk menyanyi dan mengambil masa selama dua tahun untuk bangkit semula atas inisiatif sendiri. Dia adalah insan yang mencungkil dan membentuk bakat nyanyian saya,” ceritanya yang bakal memulakan penggambaran filem My Stupid Boss 2 tidak lama lagi.

Yuka tidak ambil kesempatan

Walaupun namanya masih asing dalam kalangan peminat tempatan, Yuka Kharisma menafikan menumpang populariti Anuar dan BCL dengan mengadakan konsert bersama dua figura ternama tersebut.

Kata Yuka yang pernah memenangi trofi Artis Wanita Terbaik pada Anugerah Planet Muzik ke-15 lalu, dia hanya ingin berkongsi bakat nyanyiannya dan meneruskan minat dalam bidang yang dicintainya itu.

“Sejujurnya, saya sebelum ini terpaksa melupakan hasrat untuk bergiat aktif dalam bidang nyanyian kerana sibuk dengan hal keluarga. Sekarang, saya kira sudah sampai waktunya untuk mengejar impian membina nama di Malaysia.

“Saya memang tidak sangka dapat mengadakan persembahan di satu pentas yang sama dengan Anuar dan BCL. Saya bersyukur namun kalau orang menuduh saya cuba mengambil kesempatan terhadap perkara itu, saya hanya sifatkan semua ini adalah rezeki,” kata Yuka yang muncul dengan single terbaharu berjudul Rasa Mati.

Yuka turut mengambil peluang untuk melancarkan album terbaharunya yang bertajuk #1. Album yang mempunyai lapan buah lagu tersebut menyaksikan kerjasamanya dengan komposer Indonesia, Pay.

“Saya mengambil masa setahun untuk menyiapkan album ini. Ia mempertaruhkan lagu Rasa Mati sebagai single pertama dan ia ditulis dan digubah secara keseluruhan oleh saya,” kongsi Yuka.

Kepada para peminat yang ingin menyaksikan konsert istimewa ini, tiket sudah mula dijual melalui laman web www.yuka.com.my atau www.tickethotline.com.my.

Tiket bermula pada harga RM2199 (Intimate), RM1599 (platinum), RM588 (Diamond), RM488 (Gold), RM388 (Silver), RM288 (Bronze) dan RM188 (Regular).

Tahun lalu penyanyi bersuara emas Anuar Zain terpaksa membatalkan beberapa konsert kerana berdepan masalah kehilangan suara sehingga trauma untuk menyanyi di pentas besar. Untuk 2018, lelaki itu memulakan kalendar konsert dengan berpadu suara bersama dua penyanyi hebat, Bunga Citra Lestari dan Yuka Kharisma dalam sebuah konsert diberi nama BCL, Anuar Zain & Yuka Kharisma Live in Concert yang bakal berlangsung pada 28 April depan.