JODOHBuat masa ini, Andi enggan memikirkan soal jodoh kerana ingin memberi fokus kepada karier nyanyiannya yang sedang berkembang.

Baik dari segi kewangan mahupun bantuan-bantuan kecil yang lain, Andi pasti cuba sehabis baik untuk melunaskan setiap keperluan ibu bapa dan adik-beradiknya yang menetap di Sabah.

Sempena kedatangan 1 Syawal yang jatuh pada 5 Jun lalu, Andi, 28, mengambil alih tugas ibu dan bapanya untuk membeli setiap keperluan keluarga untuk menyambut hari raya.

“Pada minggu pertama bulan Ramadan saya sudah pulang ke kampung untuk menyediakan keperluan hari raya.

“Saya sediakan agak awal memandangkan jadual kerja agak sibuk. Tambahan pula, saya terpaksa pulang ke kampung pada pagi raya.

“Jadi, apabila keperluan Aidilfitri disediakan lebih awal, ahli keluarga dapat menyambut hari raya dengan lancar,” ujar Andi memulakan bicara.

Pemurah

Sungguhpun Andi merupakan anak kedua daripada lima beradik, namun, dia tidak lokek untuk mengeluarkan belanja yang agak besar untuk adik-adiknya.

“Abang saya sudah mendirikan rumah tangga dan saya mempunyai tiga orang adik lagi. Jadi, tidak salah rasanya berbahagi rezeki.

“Saya tidak melihat perkara ini sebagai satu bebanan kerana membantu keluarga merupakan tanggungjawab seorang anak,” ujarnya jujur.

Begitupun, menurut Andi, rasa tanggungjawab untuk membantu tidak hadir ketika namanya dikenali sebagai seorang penyanyi.

Sebaliknya, pelantun lagu Satu Peluang itu telah mula berbuat demikian ketika bergelar kerani pada usia 22 tahun.

“Pada waktu itu, saya bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat. Walaupun gaji tidak begitu besar, tetapi saya tetap mengeluarkan belanja untuk keluarga.

“Selain membelikan pakaian untuk adik-beradik sempena hari raya, saya juga mengeluarkan belanja untuk pakaian seragam sekolah mereka dan yuran persekolahan,” katanya lagi.

Berdikari

Menurut Andi, dia telah dididik daripada kecil untuk berdikari dan tidak mengharapkan orang lain.

“Sejak kecil, saya dan adik-beradik yang lain telah diajar untuk berdikari. Kami diajar masak dan juga membasuh pakaian.

“Mungkin disebabkan hal itu saya terdidik untuk menguruskan hidup pada usia muda dan membantu keluarga setelah dikurniakan rezeki yang lebih,” katanya.

Kongsi Andi, dia tidak mengharapkan sebarang balasan. Cuma, dia percaya rezeki Allah itu akan datang dengan pelbagai cara.

“Apabila saya mengeluarkan belanja untuk membantu adik-adik yang masih bersekolah, mungkin suatu hari nanti mereka akan membantu ketika saya telah tua,” ujar Andi sambil tersenyum.

Ditanya, adakah sifat bertanggungjawab yang ada pada dirinya membuatkan dia mudah untuk mencari isteri, ini jawapan Andi: “Kalau mahu kahwin, sekarang pun saya boleh berkahwin.

“Cuma, saya mahu memberi fokus terhadap kerjaya yang semakin berkembang. Kita diberi satu peluang dalam hidup. Jadi, saya mahu menggunakan peluang ini sebaik mungkin,” katanya penuh yakin.

Kerjaya

Menyentuh mengenai karier, tutur pemilik nama lengkap Andi Azrul Andi Mapangile itu, jadual kerjayanya sangat padat, terutama sepanjang bulan Ramadan yang lalu.

Menurut Andi, terdapat beberapa majlis dan komitmen kerja yang perlu dilunaskan sehingga menyebabkan dia kurang rehat.

“Saya akui, jadual kerjaya makin padat. Sepanjang bulan puasa lalu, hampir setiap hari saya bekerja. Sehinggakan saya hanya dapat pulang ke Sabah pada pagi raya.

“Namun, saya tidak melihat perkara tersebut sebagai satu beban. Saya anggap setiap kerja yang datang itu sebagai rezeki,” tutur Andi.

Dalam pada itu, Andi turut melahirkan rasa syukur kerana keberadaannya dalam industri muzik dan hiburan mula diterima khalayak.

“Alhamdulillah, selepas lagu Satu Peluang dan Donde, saya mula diterima ramai. Baru tahu bagaimanakah rasanya gelombang menjadi artis baharu, walaupun usia saya sudah banyak!

“Begitupun, saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin dan cuba yang terbaik untuk mengekalkan momentum yang ada,” ujar Andi lagi.

Melanjutkan bicara mengenai perkembangan terkini, Andi berkata, dia tidak berasa selesa dengan kejayaan yang dikecapinya kini.

Kongsi Andi, sebagai seorang penyanyi, dia mahu sentiasa progresif dan memberikan perkara-perkara berbeza kepada peminat.

“Setiap hari, ketika bangun daripada tidur, saya sentiasa berfikir untuk membawa perubahan dalam karier. Saya tidak boleh selesa dengan apa yang saya raih setakat ini.

“Cuma, apa yang boleh saya katakan, saya selesa dengan imej dan cara pembawaan diri sebagai penyanyi. Apa yang saya persembahkan pada masa ini adalah identiti saya sendiri,” ujar Andi.

Sebelum menutup perbualan, Andi sempat memberitahu yang dia bakal memasarkan sebuah lagi single sebelum 2019 melabuhkan tirai.

“Insya-Allah, mengikut perancangan, sebuah lagu single bakal dilancarkan sebelum berakhirnya 2019.

“Apa yang boleh saya katakan, single ini akan lebih memberi impak berbanding single-single saya sebelum ini,” ujar Andi.

ANDI BERNADEE bercerita mengenai tanggungjawab sebagai seorang anak dan persiapan yang dilakukan bersama keluarga sempena hari raya.