Dia adalah salah seorang daripada 14 peserta program realiti popular, Asia’s Next Top Model musim keenam (AsNTM6) kali ini.

Berkeyakinan tinggi, bijak dan cantik, Rubini disandarkan harapan besar oleh peminat dunia peragawaan tanah air untuk membawa nama Malaysia sekali lagi di puncak kemenangan AsNTM seperti alumni terdahulu, Sheena Liam.

Bezanya kali ini, Rubini menjadi wakil tunggal Malaysia dan ia memberi sedikit tekanan buat dirinya untuk menunjukkan prestasi terbaik dalam pertandingan tersebut. Bagaimanapun, dari satu sudut yang lain, berseorangan mengibarkan bendera Malaysia memberi lonjakan semangat buat dirinya.

“Sejujurnya, awalnya saya memang risau memikirkan penerimaan rakyat Malaysia dalam penyertaan AsNTM6 kali ini. Saya sudah bayangkan bakal berdepan pelbagai komen negatif.

“Apabila mengetahui hanya saya wakil tunggal untuk Malaysia, tekanan itu menjadi lebih besar. Saya takut bakal mengecewakan rakyat Malaysia jika gagal melakukan yang terbaik,” ujar Rubini sebagai mukadimah bicara.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila menerima sokongan luar biasa sebaik sahaja iklan mengenai penyertaannya dalam program berkenaan diuar-uarkan.

“Ia mendapat ratusan perkongsian di media sosial selain rata-rata memberikan kata-kata semangat. Saya sangat terharu kerana rakyat Malaysia yang tanpa mengira bangsa memberi rangsangan positif,” kata pemegang ijazah Perakaunan dan Kewangan dari Universiti Anglia Ruskin, Kuala Lumpur itu lega.

Sokongan

Bercerita lebih mendalam mengenai penyertaannya dalam AsNTM6 kali ini, Rubini sebenarnya pernah disenaraipendek untuk musim ketiga namun terpaksa dilepaskan kerana terikat dengan komitmen pertandingan ratu cantik, Miss International 2014.

“Saya sedih juga kerana terpaksa melupakan hasrat bertanding dalam AsNTM ketika itu sehingga tidak lagi mengikuti perkembangan program tersebut di televisyen dan Instagram (tertawa).

“Ketika mendapat tawaran tersebut, saya berada di Tokyo, Jepun kerana mewakili Malaysia dalam Miss International. Bagaimanapun, saya tidak pernah berhenti mencuba nasib dalam bidang peragaan.

“Jadi, apabila mendapat tawaran untuk bertanding pada musim kali ini, saya sebenarnya teragak-agak juga untuk meneruskannya kerana ada sesuatu berlaku dalam hidup yang seperti ‘membunuh’ bahagian jiwa saya,” kongsi Rubini seraya senyuman di bibirnya sedikit terhakis apabila menceritakan hal berkenaan.

Kematian abang sulung

Rupa-rupanya, Rubini hampir menolak tawaran menyertai AsNTM6 disebabkan masih dalam suasana berkabung akibat kematian mengejut abang kandungnya, Devaganeh tahun lalu. Bagaimanapun, dia mendapat suntikan semangat daripada keluarga serta teman lelaki yang juga seorang model, Shan Ratnam.

“Saya kuatkan semangat demi mewakili Malaysia dan ingin mengharumkan nama negara. Tawaran AsNTM6 datang beberapa bulan selepas kematian abang saya. Saya keliru sama ada mahu terimanya atau tidak disebabkan masih bersedih.

“Namun atas dorongan orang tersayang dan memikirkan ia satu peluang seumur hidup untuk mewakili Malaysia, akhirnya saya setuju. Saya melihat ia peluang terbaik untuk menyibukkan diri, sekali gus melupakan seketika kesedihan dalaman,” tutur Rubini.

Dalam keadaan mata berkaca saat bercerita lanjut mengenai tragedi yang menghantui dirinya akibat kematian abang tersayang, Rubini mendedahkan, abangnya meninggal akibat masalah kemurungan.

Jelas Rubini: “Mendiang abang selalu memberi dorongan agar saya terus mengejar impian dalam bidang peragaan. Saya tidak sangka dia berdepan masalah kemurungan sedangkan dia jarang menunjukkan sebarang tanda.

“Kesakitan dan kesedihan itu masih berbekas dalam diri namun saya perlu kuat. Susah untuk gambarkan kesedihan yang dihadapi dalam bentuk kata-kata namun kehidupan perlu diteruskan.”

Tidak mahu terus diselubungi kesedihan, Rubini menyambung perbualan. Buat sesiapa yang mengikuti Rubini di Instagram, dia sering mengklasifikasikan dirinya sebagai seorang model bersaiz curvy (gempal).

Gempal

Getusnya, industri fesyen atau peragaan terlalu obses dengan tuntutan model bersaiz ‘zero’ atau ramping melampau sehingga membataskan ruang untuk model yang bersaiz curvy sepertinya menunjukkan potensi.

“Sebelum ini, saya seringkali ditolak oleh agensi model atas alasan bentuk badan yang curvy, tubuh ‘makcik-makcik’ dan digelar gemuk. Ada satu tahap saya jatuh sakit kerana mengamalkan diet dengan hanya makan salad agar diterima dalam bidang ini.

“Keadaan itu mengarut dan tidak sepatutnya berlaku dalam dunia fesyen atau peragaan. Bayangkan, kalau saya disifatkan sebagai curvy, apa perasaan wanita yang benar-benar curvy dan mempunyai impian untuk membina nama sebagai model,” tegas Rubini.

Tambahnya lagi, nuansa bidang peragaan perlu berganjak untuk lebih terbuka terhadap penglibatan model daripada pelbagai saiz badan. Pada hemat, untuk sampai ke tahap tersebut, kerjasama ramai orang perlu dididik.

“Situasi ini akan terus berpanjangan kalau hanya satu atau dua orang model berani menyuarakan pendapat. Semua model harus bangkit dan berani menyuarakan pendapat agar tidak terancam dengan trend lapuk ini,” terangnya bersemangat.

Meneruskan perbualan, Rubini mendedahkan ibu dan bapanya mempunyai pandangan berbeza apabila dia mula menunjukkan kecenderungan minat dalam bidang peragaan pada usia awal 20-an.

Kecenderungan

Ibunya sentiasa memberikan sokongan penuh sementelah bapanya, yang bekerja sebagai pensyarah di salah sebuah universiti tempatan pula mempunyai pendapat bertentangan berhubung kerjaya dalam dunia peragaan.

“Bapa sedikit risau dan tidak berkenan apabila saya mengenakan busana mencolok mata. Apa yang saya buat, ketika mula-mula beraksi atas pentas peragaan, saya bawa dia bersama namun dia kelihatan sedikit kebosanan (ketawa).

“Janji saya pada bapa dan diri sendiri, saya tidak akan buat tiga perkara iaitu berparti, minum minuman keras dan merokok. Lama-kelamaan kepercayaan bapa datang secara alami.

“Seperkara lagi, jangan abaikan pelajaran. Sebab itu saya bermula sedikit lambat sebagai model kerana perlukan mendapatkan segulung ijazah. Saya sedar tidak akan selama-lamanya berada di pentas peragaan dan perlukan alternatif lain untuk hidup,” katanya panjang lebar.

Dijentik pertanyaan sekiranya bidang peragaan tidak berjalan seperti yang diinginkan, Rubini sedia bersikap terbuka untuk mencuba cabang lain termasuk lakonan. Kalau perkara tersebut juga tidak berlaku, dia mungkin akan bekerja dalam bidang korporat sebagai akauntan.

“Saya mungkin dialu-alukan untuk mencuba bidang lakonan di Malaysia. Saya suka mengekspresikan diri dengan kata-kata. Kalau ada peluang, mengapa tidak?

“Kalau itu juga tidak berjalan dengan baik, mungkin saya akan bekerja di pejabat dalam sektor korporat atau bekerja sebagai akauntan. Atau mungkin berkahwin,” jelas Rubini bersahaja sambil melemparkan senyuman terhadap teman lelakinya, Shan yang turut hadir menemaninya ketika sesi wawancara.

Sebelum menggulung perbualan, Rubini sempat menggarap aspirasi dan harapannya bertanding dalam AsNTM6. Bukan hanya ingin melakukan yang terbaik buat Malaysia, dia ingin membanggakan semua orang dengan pencapaiannya dalam pertandingan tersebut.

“Saya tersentuh apabila ada yang meninggalkan komen di laman sosial mengatakan, tidak kira apa keputusan dalam pertandingan itu nanti, mereka akan tetap menyokong saya.

“Biarpun siaran belum bermula, ini membuktikan Malaysia walaupun dihuni pelbagai lapisan masyarakat, rakyatnya saling menyokong antara satu sama lain tanpa batasan warna kulit, agama dan bangsa,” tutup Rubini.

Program AsNTM6 bakal bersiaran di saluran Astro 711 dan 722 (Fox Life dan Fox Life HD) serta saluran unifi TV 455 bermula pada 22 Ogos, setiap Rabu pukul 9 malam.