Ironinya, itu hakikat pahit yang harus ditelan oleh penyanyi terkenal mempunyai vokal lantang, Ziana Zain.

Seiring dengan lagu hitnya berjudul Berpisah Jua, selepas lebih 20 tahun hidup dalam penderitaan bersama suami, Armin Zaharin, akhirnya pada April lalu, Ziana sendiri tekad untuk menamatkan kemelut yang melanda rumah tangganya.

Biarpun masih menanti keputusan mahkamah terhadap jawapan bagi kes penceraiannya, namun menurut pemilik nama penuh Siti Roziana Zain itu, kehidupan harus diteruskan seperti biasa.

Sementelah lagi beberapa hari umat Islam di seluruh dunia akan menyambut kedatangan Syawal. Ziana yang ditemui sempena pelancaran album Nada Seni Gema Lebaran itu turut tidak terkecuali ditanya tentang sambutan rayanya pada tahun ini.

Dengan riak tenang dan bersahaja, jawab pelantun lagu Putus Terpaksa itu, sambutan lebaran tidak berubah.

“Saya rasa seperti tiada beza sambutan raya pada tahun ini dengan sebelumnya. Biarpun tahun ini kisah rumah tangga saya menjadi perhatian ramai, namun sambutan raya tetap perlu diteruskan.

“Mujur saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang meriah, jadi kehidupan sentiasa berada dalam keceriaan. Hari raya saya tidak sunyi,” kongsinya terbuka.

Ditanya soal penerimaan empat orang anaknya lebih-lebih lagi apabila menyambut raya tanpa kehadiran bapa, kongsi Ziana, dia beruntung dikurniakan cahaya mata yang begitu memahami konflik berlaku dalam keluarga mereka.

Tanpa perlu sebarang penjelasan, anak-anaknya, Muhammad Aiman, 18, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9, seakan-akan memahami situasi.

“Anak-anak saya sudah besar. Mereka tidak pernah bertanya. Saya yakin tanpa perlu diperjelaskan, mereka sudah faham situasi kami.

“Aiman juga sudah besar, dia sering mengingatkan saya agar jaga diri dan kesihatan. Anak-anak beri saya semangat positif untuk terus ke hadapan,” katanya.

Bercuti

Berkongsi tentang persiapan raya, ujar Ziana, seawal minggu pertama lagi dia sudah membawa anak-anaknya pergi membeli-belah.

Lucunya, mereka menghabiskan masa selama 12 jam hanya untuk membeli segala kelengkapan kasual seperti baju, seluar dan kasut raya.

“Kami keluar dari rumah seawal pukul 10 pagi dan habis berbelanja pada pukul 10 malam. Anak-anak tidak terlalu cerewet, tetapi sebagai ibu saya harus memilih yang terbaik untuk mereka.

“Soal baju tradisional pula, cukuplah sepasang seorang kerana mereka jarang memakai baju ini. Saya juga akan menempah pakaian mereka setiap dua tahun sekali.

“Kebetulan tahun ini giliran baju raya baharu, warna sedondon kami dipilih oleh Aiman. Tunggu hari raya pertama nanti saya muat naik gambar dalam Instagram jika hendak tahu warnanya,” gurau Ziana yang juga mendapat tiga pasang baju tajaan daripada beberapa pereka terkenal.

Dalam pada itu, pelakon yang sedang popular dengan drama Mak Cun 4 itu memberitahu, jika tiada sebarang halangan dia akan membawa anak-anaknya bercuti sempena hari raya ini.

Bagaimanapun semuanya bergantung jika ayahnya, Zain Abdullah tidak mengajak mereka sekeluarga pulang ke kampung yang terletak di Melaka.

“Saya tidak tahu akan bercuti panjang atau tidak pada tahun ini. Jika ada tawaran nyanyian yang bersesuaian dengan masa, mungkin saya akan menerimanya.

“Bagaimanapun, saya juga ada perancangan untuk membawa anak-anak bercuti. Lokasinya masih dalam perancangan lagi,” ujarnya.

Lagu raya

Terus rancak berbicara, sengaja kemudian Ziana ditanya kenangan raya yang paling ditunggu setiap tahun. Sambil tersenyum, ujarnya adalah waktu berharga bersama keluarga.

“Ketika hari raya barulah dapat berjumpa dan bermaafan dengan semua adik beradik dan anak saudara, momen itulah yang paling saya tunggu.

“Walaupun orang kata tidak perlu menunggu hari raya untuk meminta maaf, namun bagi saya perasaan saling bermaafan ketika raya ini lebih istimewa,” katanya.

Dalam pada itu, Ziana sempat berkongsi mengenai rakaman semula tiga buah lagu raya yang dimuatkan dalam album Nada Seni Gema Lebaran.

Menerusi album tersebut, Ziana merakamkan semula lagu Selamat Hari Raya, Halaman Asmara duet bersama Hazama dan Suasana Hari Raya duet bersama Hael Husaini.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya berduet bersama Hazama dan Hael. Walaupun sesi rakaman dilakukan secara berasingan, namun mereka berdua mempunyai kualiti vokal yang sangat bagus.

“Saya juga rasa seperti mimpi jadi nyata apabila diberi penghormatan menyanyikan semula lagu raya nyanyian Saloma yang sememangnya menjadi siulan ketika kecil dahulu,” ujarnya seraya menutup bicara.