Kehadiran putera sulung, Aqeef Anaqi yang kini berusia setahun, melengkapkan lagi keutuhan mahligai Amyramar yang dibina pada 11 November, dua tahun lalu.

Tenang melayari alam rumah tangga, Amar Baharin, 33, dan Amyra Rosli, 27, mengakui kehidupan mereka sentiasa diisi dengan momen indah umpama kali pertama jatuh cinta.

Mengakui adakalanya kedua-dua mereka bermasam muka, mereka beranggapan situasi sedemikian adalah realiti kehidupan rumah tangga yang tidak perlu dikongsi di khalayak ramai.

“Biasalah dalam kehidupan rumah tangga, pasti ada naik dan turun. Kalau seorang merajuk, seorang lagi pujuk. Jangan seorang merajuk, kita pun sama naik merajuk.

“Kunci saya mudah, setiap kali ada perselisihan faham, salah seorang perlu mengalah. Buang ego ke tepi,” kata Amar memulakan bicara.

Sebagai ketua keluarga, Amar berkata, tiada banyak perbezaan dalam kehidupan berkeluarga dan zaman bercinta.

Katanya, Amyra yang dikenali saat kali pertama berkenalan sehingga bergelar suri hatinya, masih insan yang sama.

“Tiada apa yang berubah sepanjang kami bercinta hingga kini. Kalau nak kongsi mengenai rajuk, daripada zaman bercinta Amyra memang selalu merajuk.

“Jangan risau, sehingga hari ini kami masih tidur di katil yang sama,” selorohnya sambil melirik manja wajah Amyra.

Menyaksikan gelagat Amyra, terserlah sisi kebahagiaan wanita itu menjadi kekasih kekal di hati suaminya.

Sesekali menepuk manja Amar dek jawapan nakal yang dikongsikan, Amyra menjelaskan, kebahagiaan mereka bukan lakonan untuk tatapan umum.

“Saya sangat rapat dengan Amar. Saya dengan Amar tidak boleh bergaduh lama, dalam satu hari kami mesti berbaik semula.

“Kalau boleh kita hanya mahu berkongsi mengenai perkara gembira dalam kehidupan kami. Perkara yang tidak baik, bergaduh suami isteri, biar kami sahaja yang tahu,” jelas Amyra.

Dalam pada itu, sebagai anak selebriti Amyramar, laman sosial rasmi Instagram Aqeef turut menarik perhatian ramai apabila ia kini sudah mengumpul sejumlah 519,000 pengikut.

Satu masa dahulu, Amar lantang mempertahankan tindakannya tidak membenarkan Aqeef dirapati sembrono oleh insan yang tidak dikenali.

Seiring pertambahan usia Aqeef, pasangan selebriti itu kini lebih terbuka memberi pendedahan dan peluang untuk peminat mendekati anak mereka.

Biarpun begitu, disebabkan naluri keibuan Amyra yang masih menebal, dia meletakkan syarat untuk bergambar dengan anaknya.

“Alhamdulillah, Aqeef membesar dengan sihat. Dia sudah pandai menyebut beberapa perkataan seperti ‘no, no’. Saya dan Amar juga kini lebih terbuka untuk Aqeef didekati.

“Bagaimanapun, jika ada individu mahu mengambil gambar bersama Aqeef, saya yang akan dokong dia,” tegasnya.

Karier

Sorotan tahun 2018, menyaksikan momentum kerjaya Amyra meningkat apatah lagi drama rantaian Nur yang bersiaran sepanjang Ramadan lalu berjaya meletakkan aktres itu sebagai pilihan pelakon utama dalam kalangan penerbit.

Lebih manis, Amyra turut merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian pada Anugerah Skrin 2018 sebagai pengiktirafan hasil lakonan aktres drama Nur itu.

Tidak sabar menunggu lembaran tahun 2019, Amyra berkongsi keterujaannya bakal kembali ke set penggambaran menjalani sambungan sekuel drama Nur.

“Saya akan kembali ke set tahun depan dalam projek Nur 2,” dedahnya.

Dia juga berjanji untuk memberikan nilai lakonan terbaik dalam Nur 2 sebagai penghargaan terhadap sokongan peminat.

Bagi Amar pula, setelah sekian lama dilihat hilang dari radar hiburan negara, dia akan tampil dalam drama bersiri yang masih dalam proses penggambaran.

“Saya akui, pada tahun ini perjalanan kerjaya sedikit perlahan. Tahun depan, saya akan tampil dengan produk baharu dan kembali dengan pelbagai projek,” katanya.

Seperti juga pasangan selebriti lain, Amyramar turut tidak terlepas daripada sering dimomokkan soalan perihal menambah bilangan ahli keluarga.

Pantas menjawab soalan tersebut, Amyra berkata, dia sememangnya tidak sabar untuk menghadiahkan Aqeef ‘teman sepermainan’.

“Saya memang suka budak. Hasrat di hati memang mahu tambah anak. Tetapi memandangkan tahun depan kami sibuk, perlu ada perancangan rapi,” tuturnya.

Amar pula mengambil pendekatan mudah iaitu memulangkan soal anak pada rezeki dan sentiasa sedia memikul amanah Allah.