Boleh dikategorikan sebagai antara artis baharu yang sangat bersih daripada kontroversi, dia mengakui bahawa ketiadaan ‘cerita panas’ yang terpalit dalam kerjayanya membuatkan nama Amira tidak sepopular lagunya.

Katanya lagi secara jujur bukan dia mengharapkan kontroversi sebagai platform menaikkan nama, namun tidak juga menafikan bahawa perkara itu boleh menjadi faktor peminat lebih mengenali siapa dirinya.

Mengakui dia sangat mengambil langkah berjaga-jaga dalam dunia hiburan kerana ibu bapanya mengawasi setiap tindak-tanduknya, graduan Universiti Teknologi Mara Shah Alam ini berkata, dia terbuka untuk dikaitkan dengan sebarang gosip selagi ia tidak menjatuhkan maruah diri dan keluarga.

“Saya tahu ramai yang memberitahu reputasi bersih kontroversi membuatkan nama saya tidak popular atau melonjak seperti orang lain tetapi apa yang saya mampu buat, benda seperti itu bukan boleh dirancang.

“Lagipun saya mempunyai ibu bapa yang sentiasa memerhati perjalanan seni, jadi memang tiada ruang untuk hal-hal merepek dalam kehidupan saya. Sebenarnya saya okey kalau ada kontroversi seperti dikait bercinta atau berkenaan teman lelaki selagi ia tidak keterlaluan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Mimpi Indah di Flora Terrace baru-baru ini.

Tampil serba putih pada majlis tersebut, Amira sempat ditanya tentang pemilihan fesyen yang digemarinya memandangkan pada hari itu, dia kelihatan seperti lebih matang daripada usia sebenar. Usia Amira baru 25 tahun.

Ulas pelakon Abang Bomba I Love You itu, kebiasaannya dia hanya menyerahkan hal penampilan dan fesyen kepada perunding imej yang diupah kerana tidak mempunyai masa untuk pergi membeli-belah.

“Penampilan saya bergantung pada suasana majlis. Jika saya perlu tampil matang, maka perunding imej saya yang akan memikirkan konsep baju yang perlu dipakai mengikut kesesuaian imej saya yang bertudung,” jelasnya lagi.

Serasi

Beralih bicara mengenai produk yang mahu ditonjolkan, wanita itu memberitahu, dia mengambil tempoh masa setahun untuk muncul dengan single baharu selepas lagu Jaga-Jaga.

Namun begitu, pemilik nama serbenar, Nadia Amira Othman itu yakin dengan keputusannya kerana dia memegang prinsip bahawa karya yang baik memang mengambil masa dan tidak boleh dibuat dengan terburu-buru.

Bagi single baharu yang bertajuk Mimpi Indah, dia masih setia menggunakan khidmat rakan baiknya, Hael Husaini sebagai komposer dan penulis lirik seperti lagu-lagu sebelum ini.

Kata Amira dia ada juga cuba meminta pita demo daripada komposer-komposer lain, namun melodi yang diterima dirasakan tidak sesuai dengan suaranya dan kembali kepada Hael juga akhirnya.

“Saya perlu akui senang bekerja dengan Hael kerana dia sudah tahu ton suara saya bagaimana dan rentak bagaimana yang sesuai untuk dibawakan. Lagipun dia yang menaikkan nama saya dalam industri, jadi keserasian yang kami miliki memang sukar dicari.

“Namun begitu, saya teringin juga untuk bekerjasama dengan orang lain jika ada lagu yang sesuai. Insya-Allah, mungkin selepas ini saya boleh cuba bawakan lagu berentak balada pula,” ujarnya lagi.

Yakin

Sementara itu, menyentuh tentang melodi Mimpi Indah, ia sebenarnya tidak lari jauh daripada dua lagu Amira sebelum ini yang berada dalam kategori genre waltz moden.

Jika didengar sekali lalu, tidak dapat dinafikan ia menimbulkan sedikit kekeliruan kepada pendengar, sekali gus menimbulkan persoalan mengapakah anak kelahiran Johor itu enggan keluar dari zon selesanya untuk lagu baharu.

Kata Amira, dia sedar akan perkara itu, namun ia dianggap sebagai satu usaha buat dirinya memperkenalkan lebih banyak lagu berentak waltz sebagai pilihan baharu kepada peminat.

“Saya bukan tidak mahu mencuba sesuatu yang baharu atau keluar dari zon selesa, cuma saya lihat lagu-lagu sebelum ini memberikan impak positif dan diterima baik oleh peminat. Kalau boleh, saya tidak mahu membunuh momentum itu kerana bukan selalu industri sukakan benda baharu seperti ini.

“Jika ada yang kata saya takut mencuba perkara baharu, jujurnya genre waltz bukanlah kekuatan saya kerana secara peribadi saya sukakan lagu yang mendayu-dayu. Namun saya mahu cuba buat perubahan dalam muzik tempatan, jadi harap peminat dapat menyokongnya,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, kakak kepada penyanyi Irfan Harris itu juga memberitahu tidak akan menerima tawaran berlakon dalam tempoh beberapa bulan ini kerana mahu memberikan tumpuan kepada promosi lagu Mimpi Indah.