Mengambil masa sekitar setahun untuk melancarkan material terbaharu, Amir atau nama lengkapnya, Amir Syazwan Masdi mengakui tempoh tersebut merupakan satu jangka waktu yang lama.

Katanya, dia enggan terburu-buru membuat keputusan disebabkan tidak mahu kecewa berikutan single keduanya, Waktu kurang mendapat sambutan peminat.

Akibat kegagalan tersebut, dia pernah mengambil keputusan untuk menyendiri dan hanya bermain permainan video bagi mengelakkan diri daripada memikirkan tentang penerimaan khalayak terhadap lagunya.

Pada masa sama, penyanyi berusia 22 tahun itu mengakui berasa cemburu terhadap rakan selebriti lain seperti Ara Johari, Ismail Izzani dan Haqiem Rusli yang mendapat reaksi positif dalam kalangan peminat.

Biarpun begitu, Amir tidak menjadikan situasi yang dihadapi sebagai pematah semangat untuk meneruskan usaha dalam bidang seni suara tanah air.

Ditemui pada majlis pelancaran single Puas di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini, Amir berkongsi kekecewaan akibat kesukaran menembusi hati peminat.

KOSMO!: Apakah yang membuatkan Amir Masdi mengambil masa terlalu untuk melancarkan single baharu sehingga memakan masa selama setahun?

AMIR MASDI: Lagu pertama saya Pemilik Cinta diterbitkan pada akhir 2016, manakala Waktu menyusul sekitar Mei 2017.

Untuk single ketiga, saya sedar tempoh setahun adalah suatu jangka masa yang lama. Namun, saya enggan terburu-buru untuk membuat keputusan kerana ingin mendapatkan material yang berkualiti, sekali gus seiring perkembangan muzik semasa.

Dalam tempoh itu juga, saya berasa sedikit kecewa apabila Waktu gagal mendapat sambutan. Disebabkan terlalu memikirkan punca berlakunya situasi sebegitu, jadi saya mengambil keputusan untuk menyendiri dan mengalih perhatian menghabiskan masa dengan permainan video.

Selepas beberapa bulan, barulah saya kembali mendapat semangat baharu dan bersedia untuk tampil dengan single ketiga.

Apakah pendorong yang membuatkan anda kembali bersemangat dan ingin bekerja semula?

Ketika itu saya banyak mendengar dan menonton video penyanyi lain di YouTube. Pada masa sama, saya juga menonton pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32). Disebabkan acara tersebut didominasi penyanyi baharu, ia seperti memberi semangat kepada saya untuk turut tampil dengan buah tangan terbaharu.

Tambahan pula, saya sendiri menyimpan hasrat untuk membuat persembahan, sekali gus menyertai acara berprestij itu.

Adakah wujud perasaan cemburu apabila melihat penyanyi seangkatan, terutama seusia anda yang lebih mendapat tempat dalam industri muzik?

Sejujurnya saya mengakui wujud perasaan cemburu, namun ia satu reaksi yang positif agar lebih bersemangat dan berusaha gigih. Tidak dinafikan, segalanya bergantung pada rezeki.

Secara peribadi, saya sendiri ada bertemu kenalan artis seusia untuk mengetahui apa kekurangan diri sehingga sukar mendapat tempat. Pada pandangan mereka, saya tidak mempamerkan ekspresi wajah ketika membuat persembahan.

Barangkali disebabkan saya bukan seorang yang gemar berkongsi perasaan dengan individu lain, jadi emosi sukar untuk ditonjolkan.

Secara peribadi, pernahkah anda memikirkan tentang kekurangan diri berbanding individu lain?

Saya selalu memikirkan tentang hal itu. Saya membuat penilaian daripada pelbagai perspektif seperti cara membuat persembahan, penampilan diri dan komunikasi dengan peminat terutama di media sosial.

Mungkin disebabkan belum rezeki atau masanya. Bagaimanapun, saya akan terus berusaha dengan menampilkan produk berkualiti dan persembahan yang tidak menghampakan peminat.

Terdapat beberapa selebriti yang menggunakan kaedah gimik atau kontroversi untuk lebih dikenali. Adakah anda ada terfikir untuk melakukan perkara sama?

Ya, pada awalnya saya ada membuat perancangan seumpama itu. Saya dan pengurus mahu menyimpan kesemua gambar di Instagram, kemudian memuat naik gambar yang memaparkan seakan-akan saya sedang kecewa.

Namun, setelah membuat penilaian, saya membatalkan hasrat tersebut dan meneruskannya dengan majlis pelancaran single baharu bertajuk Puas.

Boleh ceritakan serba sedikit mengenai single baharu berkenaan?

Lagu tersebut berentak rock balada ciptaan Ayden Ali bersama Ikhwan Fatanna bertajuk Puas. Saya bersyukur apabila single ini mendapat sambutan positif dan menggalakkan daripada peminat selepas dilancarkan secara rasmi pada 14 Ogos lalu termasuk klip video lagu Puas di YouTube.

Saya gembira dan berasa puas hati dengan lagu tersebut. Saya juga telah memberikan yang terbaik sepanjang proses menghasilkan single Puas.