Biarpun begitu, lama-kelamaan kelibat pemilik nama penuh Nurazlina Amir Sharifuddin semakin kurang diperkatakan dalam media tempatan.

Sedar situasi tersebut, wanita berusia 44 tahun itu tidak mudah mengalah. Justeru, sempena berada bawah naungan syarikat pengurusan baharu, penyanyi lagu Asyik itu juga nekad mengubah penampilan agar lebih segar dan sesuai dengan permintaan industri sekarang.

Ditemui usai sidang akhbar Konsert Fenomena D’Pop di Kach’e Shah Alam, Amelina ceria bercerita tentang penglibatannya pada acara yang dijadualkan pada 29 September depan tersebut. Selain Amelina, barisan artis era 1980-an dan 1990-an seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk M. Daud Kilau, Haiza dan Siti Nordiana bakal menjayakan Konsert Fenomena D’Pop di Dewan Banquet Menara Felda, Kuala Lumpur nanti.

KOSMO!: Lama tiada khabar tentang Amelina, boleh kongsikan perkembangan terbaru anda?

AMELINA: Saya masih berada dalam industri cuma sibuk dengan undangan nyanyian untuk majlis-majlis korporat. Pada masa lapang pula, saya sibuk menjalani rawatan kecantikan wajah dan program menurunkan berat badan untuk mengubah penampilan diri. Saya akui banyak tercicir terutamanya dalam penjagaan diri, jadi untuk menepati cita rasa peminat sekarang saya harus menjalani semua perkara itu.

Berapa banyak berat anda turun sepanjang proses untuk membina semua penampilan diri?

Berat asal saya adalah 70 kilogram (kg) tetapi kini sudah turun menjadi 62kg. Saya menyasarkan untuk mendapatkan berat badan ideal iaitu 60kg barulah kulit tidak akan rosak.

Anda kelihatan begitu intensif dalam soal penampilan diri, adakah ia disebabkan faktor yang mengatakan anda kini dalam fasa bahagia atau lebih tepat lagi sedang bercinta?

Bukan begitu, sebenarnya saya sudah kini bawah pengurusan Mind Order Sdn. Bhd., jadi mereka yang meminta agar saya membentuk imej baharu untuk lebih bersesuaian dengan kehendak industri sekarang. Lagi pun, ketika kemasukan semula dalam industri hiburan pada tahun 2014 dahulu, saya bagaikan hilang arah kerana industri dahulu dan sekarang sangatlah berbeza.

Menerusi imej yang lebih segar, apa yang terlintas dalam fikiran anda apabila melihat semua gambar-gambar lama?

Sejujurnya saya pun tidak menyangka akan membawa imej rambut perang dan beralun-alun seperti dulu. Mungkin ketika itu saya mahu cepat diterima semula dalam industri dan kelihatan lebih menonjol. Namun begitu, penampilan seperti ini membuatkan saya rasa lebih ringkas dan selesa, malah anak-anak pun gembira.

Impak selepas bertukar imej, mungkin ada mana-mana lelaki yang cuba mendekati anda?

Memang ada yang mendekati, tetapi biarlah mereka menjadi kawan sahaja. Saya mengharapkan seseorang yang ikhlas untuk menyayangi saya, anak-anak dan karier. Sehingga kini saya tidak nampak calon yang sesuai. Dulu, anak-anak saya boleh dikatakan kurang mendapat kasih sayang, jadi saya tidak mahu hal yang sama berulang kembali.

Bagaimanapun, saya seorang yang sudah pasrah dengan kehidupan. Andai memang ditakdirkan hidup berseorangan, tidak mengapa. Sekiranya ada jodoh, biarlah ia menjadi penghujung yang terbaik dalam kehidupan saya.

Baiklah, bagaimana pula dengan perkembangan aktiviti seni anda?

Saya dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah album baharu. Saya akui hal ini sudah dicanangkan terlalu lama, tetapi ia bukan disengajakan kerana untuk mencari bahan yang sesuai dengan kehendak peminat agak sukar. Saya harus sedar sekarang bukan seperti zaman saya dahulu, memang ada peminat tegar dari dahulu, namun saya tetap kena fikirkan kehendak peminat sekarang. Saya tidak mahu sekadar menghasilkan album tangkap muat.

Mengapa anda memilih untuk terus mengeluarkan album berbanding single yang memakan masa lebih singkat?

Album ini lebih ke arah hadiah buat peminat. Kalau dahulu, peminat saya memang sudah terbiasa untuk mendengar sekurang-kurangnya 10 buah lagu setiap kali muncul dengan album. Namun, untuk penghasilan album kali ini, jika mengandungi lima atau enam buah lagu pun sudah cukup membuatkan saya berpuas hati.

Bagaimana dengan konsep album berkenaan, sudahkah ia ditetapkan?

Saya masih berpegang terhadap elemen dangdut, namun mungkin ada kombinasi dengan beberapa elemen lain seperti rancak dan perlahan yang menjadikan ia lebih bervariasi. Saya harap peminat akan berpuas hati dengan album itu nanti.

Boleh kongsi tentang penglibatan anda dalam Konsert Fenomena D’Pop pada 29 September depan?

Konsert itu begitu istimewa kerana ia menggabungkan persembahan artis era 1980-an dan 1990-an yang jarang dapat bersama atas satu pentas. Sebelum ini saya selalu menerima undangan persembahan tetapi ia lebih tertutup, tetapi konsert ini pula merupakan sebuah persembahan pentas yang berskala besar. Setakat ini saya akan membawakan tiga buah lagu dangdut yang boleh mengajak penonton untuk bernyanyi bersama.