Buktinya, setiap kali memuat naik gambar di Instagram, pasti berduyun-duyun netizen meninggalkan komen yang mempertikaikan caranya berpakaian. Tohmahan seksi, tidak takut Tuhan dan macam-macam dilemparkan terhadap dirinya, namun Amelia tenang, langsung tidak membalas terhadap kecaman ‘bersiri’ tersebut.

Menggali emosi dengan mengajukan soalan itu taktala bersua muka dengan pemilik nama sebenar Amelia Thripura Henderson tersebut pada sesi fotografi khas baru-baru ini, ternyata Amelia tidak mudah melenting malah tenang bersahaja memberikan jawapan.

“Kalau tak suka, unfollow atau block (sekat) sahajalah akaun Instagram saya. Ini (tahun) 2019, kita boleh mengekspresikan diri sendiri. Selagi apa yang saya buat tidak membahayakan orang dan tak sakiti sesiapa, jadi biarkanlah saya. Tidak perlulah membincangkan pasal saya.

“Kalau kita fokus untuk membahagiakan orang lain (netizen). Bila diri sendiri nak bahagia? Saya tidak boleh menjalani kehidupan dengan menuruti apa yang mereka mahukan kerana saya juga kena bahagiakan ibu dan memuaskan hati pihak pengurusan. Saya perlu melakukan apa yang terbaik untuk saya dan orang-orang di sekeliling saya,” katanya tenang, namun ada penegasan di situ.

Tambah wanita berusia 24 tahun ini, apa yang penting dan sudah cukup bagi dirinya ialah mempunyai insan-insan di sekeliling yang sentiasa menyokongnya.

“Memiliki keluarga, pihak pengurusan dan peminat yang melindungi saya, itu sudah cukup. Buat apa saya mahu fikirkan orang lain. Lagipun, sesetengah mereka yang meninggalkan komen dan mengecam itu menggunakan akaun palsu,” ujarnya

Biarpun dikritik, anak kacukan India-Scotland itu tidak mengambil pendekatan untuk menutup ruangan komen.

Ikuti cerita selanjutnya di akhbar KOSMO! hari ini.