Berkongsi tentang kandungan Amyra, pelakon drama Suamiku Encik Sotong itu mengakui sememangnya menginginkan cahaya mata perempuan memandangkan mereka sudah memiliki anak lelaki.

“Lelaki atau perempuan, saya tidak kisah. Kalau rezeki Allah boleh dipilih, sudah tentu saya mahukan anak perempuan pula.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur walau apa pun jantina anak saya ini. Asalkan dia sihat dan sempurna. Itu yang kami doakan setiap hari," tuturnya memberitahu kandungan isterinya kini telah memasuki minggu ke-13.

Dalam pada itu, Amar atau nama lengkapnya Amar Mohd. Baharin itu turut memberitahu, dia enggan mengetahui lebih awal jantina bakal cahaya mata kedua mereka.

“Saya tidak mahu mengetahui jantina bakal anak kedua saya kerana mahu memberi kejutan pada majlis baby shower kelak,” ungkapnya ringkas ketika ditanya mengenai hal itu.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada November 2016 itu memiliki seorang anak lelaki, Aqeef Anaqi yang dilahirkan pada Oktober 2017 dan kini berusia setahun lapan bulan.

Pada awal Julai lalu, Amar memaklumkan berita gembira yang isterinya sekali lagi berbadan dua dengan memuat naik foto Amyra bersama alat ujian kehamilan di Instagram.

Amar yang terkenal menerusi drama Kerana Terpaksa Aku Relakan itu turut menyifatkan, berita Amyra hamil anak kedua menjadi hadiah paling bermakna sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-34 pada tahun ini.

Difahamkan, sebelum ini, Amyra atau nama lengkapnya, Nur Amyra Izzati Rosli ada memaklumkan dia tidak pernah merancang soal zuriat sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada ketentuan rezeki.

Bercerita tentang perkembangan kariernya pula, kongsi Amar, dia kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri 20 episod untuk slot terbaharu di Astro Ria yang berjudul Cemburu Seorang Perempuan bergandingan bersama isterinya sendiri dan Emma Maembong.