Apatah lagi selepas popularitinya memuncak menerusi lagu Tak Mungkin Kerana Sayang pada tahun 2009, masanya banyak ditumpukan terhadap karier.

Pejam celik, sepanjang tempoh yang cukup lama, Alyah tertinggal banyak perkara dalam hidupnya, terutama waktu berharga bersama keluarga tercinta termasuk momen menjalani ibadah puasa dan meraikan Lebaran.

“Bulan Ramadan baru-baru ini saya memang tidak ambil tawaran persembahan dan kurangkan aktiviti. Sebab tahun lepas saya memang tiada waktu untuk suami dan keluarga kerana sibuk berniaga.

“Jadi, untuk tahun ini memang saya sudah kurangkan aktiviti sejak awal tahun lagi. Berbanding tahun lepas saya aktif berniaga sehingga ke Sabah, Sarawak dan Brunei, tahun ini saya cuma buka gerai jualan di Singapura dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur sahaja,” ujarnya membuka bicara ketika ditemui baru-baru ini.

Tebus waktu

Namun, kedatangan Lebaran tahun ini memberi 1001 makna buat pemilik nama sebenar Hasliah Abu Hasan itu kerana akhirnya dapat meluangkan masa lebih banyak bersama keluarga di kampung halaman.

“Secara jujurnya, populariti yang diraih menerusi lagu Tak Mungkin Kerana Sayang membuatkan saya tiada masa untuk keluarga.

“Hari-hari biasa pun tiada masa, apatah lagi untuk waktu istimewa seperti Ramadan dan Syawal. Alhamdulillah, tahun ini saya berpeluang beraya bersama keluarga di kampung,” katanya.

Ketika Ramadan lalu, Alyah berpeluang pulang ke kampung halamannya di Gelang Patah, Johor selama beberapa hari dan melakukan aktiviti yang dirindui bersama ibu tersayang.

Sesalnya sepanjang tempoh menyibukkan diri dengan kerjaya, wanita berusia 38 tahun itu mengakui banyak terlepas beberapa perkara yang berlaku dalam keluarganya seperti kematian, perkahwinan dan kenduri tahlil.

“Kalau dahulu, memang tiada peluang langsung untuk saya bertarawih dengan ibu. Pernah juga tidak dapat pulang beraya selepas mendirikan rumah tangga.

“Sebab itu tahun ini saya beri komitmen 100 peratus untuk ibu. Saya sempat memasak untuk berbuka dan sahur selain bertarawih dan mengemas rumah.

“Saya akui ada perasaan bersalah timbul dalam diri sebab terlalu sibuk dengan kerja sehingga tiada masa untuk keluarga. Jadi tahun ini, saya anggap inilah masanya untuk saya tebus semula tempoh masa yang habiskan untuk mengejar cita-cita sepanjang lebih 10 tahun lalu,” tuturnya bernada sayu.

Suasana kampung

Masih belum terlambat berbicara soal sambutan raya, di sebalik keterujaannya dapat meluangkan masa bersama keluarga, ada beberapa perkara lain yang turut menyuntik kegembiraan berganda buat Alyah.

Saban tahun, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mencantikkan dan mengemas rumah keluarga dengan hiasan baharu seperti langsir.

“Dari bujang sehingga sudah berkahwin pun, tanggungjawab itu memang saya yang pegang. Kalau sibuk dan tidak dapat pulang ke kampung, saya minta tolong anak-anak buah dan hanya beri arahan dari Kuala Lumpur.

“Tahun ini saya pulang awal ke kampung iaitu pada 1 Jun. Tempoh masa yang panjang itu buatkan saya teruja untuk buat macam-macam perkara dengan adik-beradik lain.

“Rutin kami adalah membakar kuih raya, membeli barangan basah di pasar dan memasak bersama-sama memandangkan saya ada 12 orang adik beradik. Semua perkara itu saya sudah terlepas selama 10 tahun, sebab itu saya tidak sangka dapat melakukannya pada tahun ini,” ujarnya yang mengambil kesempatan bercuti raya untuk menziarahi sanak-saudara di Kluang dan Mersing.

Ditanya tentang sambutan rayanya di kampung halaman suami tercinta, pengarah muzik tersohor Datuk Ramli M.S di Singapura, Alyah berkata, selalunya rutin beraya di sana hanya dilakukan paling lama pun selama dua hari sahaja.

“Saya berasal dari kampung, jadi apabila beraya di kawasan bandar seperti Singapura, perasaan itu sudah lain kerana suasananya berbeza. Cuma apa yang membuatkan raya di sana meriah adalah keluarga suami yang ramai. Apa-apa pun, saya tetap memilih kampung sebagai tempat terbaik untuk meraikan Lebaran,” katanya.

Menyentuh sedikit perkembangan terkininya, Alyah yang baru sahaja muncul dengan single terbaharu berjudul Meluruh memberi bayangan akan muncul dengan sebuah persembahan istimewa pada tahun depan sempena usia 20 tahun penglibatannya dalam industri.

“Mungkin ada sesuatu saya mahu beri kepada peminat. Dalam perancangan, memang ada. Cuma harapan saya agar usaha itu dipermudahkan terutama dari segi sokongan dan tajaan,” tutupnya seraya tersenyum manis.

Hampir 20 tahun hidupnya padat dengan karier seni, Alyah bercerita tentang momen-momen yang keciciran dan paling dirindui bersama ahli keluarga.