Masa berganti masa, keputusan Altimet untuk meninggalkan pentas persembahan semakin bulat apabila ibu tercinta, Jamalah Agil Alsagoff merestui kehendak anaknya itu.

Walaupun dalam tempoh beberapa tahun sejak kebelakangan ini banyak kejayaan yang diraih, termasuk pengiktirafan besar seperti Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Juara Lagu (AJL), Altimet masih tidak berganjak dengan pendiriannya.

Menyambut hari lahir yang ke-40 pada 27 November lalu, Altimet atau nama lengkapnya, Ahmad Abdul Rahman kini secara rasminya sudah bersara daripada dunia nyanyian.

“Menjelang tarikh hari jadi, perasaan saya bercampur baur. Pada awalnya gembira. Maklumlah, saya tidak perlu menyanyi lagi.

“Namun saya pasti, perasaan gembira tersebut akan bertukar menjadi rindu,” ujar Altimet sewaktu ditemui pada majlis pengumuman album terakhirnya, O dan single Bersamamu di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Altimet yang kini lebih selesa di belakang tabir sebagai penerbit dan penulis lirik, menyatakan rindu yang bakal dirasai bukanlah biasa-biasa. Selama 19 tahun mendakap muzik hip-hop dengan sepenuh hati, banyak memori yang bakal membekas dalam jiwa.

“Terus-terang saya katakan, banyak perkara yang berlaku sepanjang tiga tahun kebelakangan ini tanpa disedari.

“Semua yang berlaku di luar jangkauan minda dan tidak pernah saya jangkakan,” katanya jujur.

bertanding

Masih segar dalam ingatan, Altimet pernah didatangi seorang bintang seni veteran yang mengingatkannya supaya tidak terlalu berharap pada industri muzik komersial.

“Saya pernah menyatakan hasrat untuk ke pentas AJL. Individu berkenaan bagaimanapun berpesan supaya saya tidak terus dibuai mimpi.

“Hal ini kerana, menurut individu terbabit, pentas AJL hanya dimonopoli oleh artis yang mendendangkan lagu balada.

“Namun, saya tidak menghiraukan pesanannya kerana yakin dengan kualiti karya-karya saya yang akhirnya berjaya meraih tempat di anugerah berprestij berkenaan,” katanya yang sebelum ini memenangi tempat ketiga dalam AJL28 menerusi lagu Kalau Aku Kaya bersama Awi Rafael.

Bertambah manis, pada AJL32, Altimet berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Amboi, manakala pada tahun ini, lagunya yang berjudul Bunga layak ke AJL33 yang dijadualkan berlangsung pada Februari tahun depan.

Terlanjur berbicara mengenai kejayaan lagu berkenaan ke pentas AJL33 selepas dia memutuskan untuk tidak mahu menyanyi, Altimet mempunyai strategi tersendiri.

Menurut lelaki kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu, lagu berkenaan bakal dinyanyikan oleh artis lain yang dipilihnya sendiri.

“Artis yang menjadi pilihan saya seorang yang sangat berbakat. Saya yakin, mereka mampu untuk membawakan lagu Bunga dengan baik,” kata Altimet yang masih enggan mendedahkan penyanyi yang bakal menggantikan tempatnya pada AJL33 kelak.

Tambah penyanyi yang turut menyumbang sisi kreatifnya dalam runut bunyi filem Polis Evo 2, dia percaya artis pilihannya mampu memberi interpretasi berbeza pada lagunya.

“Sebagai contoh, Aizat mampu menyanyikan lagu Yuna, Terukir Di Bintang dengan baik sekali walaupun ia bukanlah lagu yang pada asalnya didendangkan oleh penyanyi lelaki.

“Begitu juga dengan Jaclyn Victor sewaktu diberi kepercayaan membawakan lagu Sedetik Lebih dendangan asal Anuar Zain. Dia mampu membawa semangat lagu tersebut ke tahap yang sangat berbeza.

“Saya yakin dengan pemilihan ini dan siapa tahu, lagu Bunga kedengaran berbeza atau lebih baik apabila dipersembahkan oleh artis ini nanti,” katanya lagi.

Konsert

Sungguhpun telah berikrar untuk tidak menyanyi selepas 27 November 2018, namun, ada satu hal yang menyebabkan Altimet terpaksa memungkiri janjinya.

Konsert selamat tinggal yang dirancang untuk dijayakan pada bulan November, iaitu bulan persaraannya terpaksa ditunda pada Februari depan atas masalah kekangan masa.

“Ketika menyuarakan hasrat untuk bersara, saya memang mahu melancarkan album terakhir dan seterusnya mengadakan konsert pada bulan yang sama. Tetapi, disebabkan saya bekerja sendiri dan konsert berkenaan juga diuruskan sendiri, saya terpaksa menundanya pada Februari.

“Saya faham, ramai yang akan pertikaikan kenapa saya boleh menyanyi untuk konsert tetapi tidak AJL.

“Untuk makluman, saya menyanyi pada konsert saya sendiri dan ia tidak melibatkan produksi luar. Jadi, ia bukan satu masalah bagi saya,” katanya.

Bagi merealisasikan konsert terakhirnya itu, Altimet bakal mengumpulkan rakan-rakan artis yang pernah berkolaborasi dengannya menerusi lagu sepanjang kariernya.

“Apa yang pasti, konsert berkenaan akan dimeriahkan dengan kehadiran ramai rakan-rakan artis dan saya yakin, ia bakal menjadi sebuah acara muzik yang diingati,” katanya.

Sedikit mengenai album studio ketiganya, O, Altimet menjelaskan, ia ibarat sebuah dokumen yang mengandungi cerita-cerita menarik dari sudut pandang matanya.

“Lagu Bersamamu misalnya, saya bayangkan perasaan ketika sedang bercinta. Jadi, muziknya agak ringan.

“Untuk lagu lain, penceritaannya sedikit berbeza mengikut keadaan,” katanya.

Bakal dipasarkan pada 21 Disember depan, album O menampilkan ramai penyanyi popular antaranya Aizat Amdan, Cuurley, Hazama, Aisyah Aziz, Alif, Taufik Batisah, DJ Fuzz dan Zizie Kirana.

Altimet bercerita mengenai persaraannya daripada dunia nyanyian dan perancangan konsert terakhirnya yang dijangka berlangsung pada Februari depan.