Akuinya, dunia lakonan sememangnya merupakan impian sejak kecil kerana percikan glamor dan keseronokan bergelar pelakon. Bagaimanapun, itu semua tidak seindah yang disangka.

Hal ini kerana, bergelar pelakon menuntut komitmen yang tinggi apatah lagi mempunyai perniagaan yang perlu diusahakan.

Digandingkan bersama barisan pelakon hebat seperti Fasha Sandha dan Fauzi Nawawi menerusi filem adiwira, Badang yang bakal ditayangkan pada 15 Februari ini, Aliff Syukri menganggap tawaran lakonan yang diperoleh ibarat mimpi.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Aliff Syukri yang ditemui pada majlis sidang akhbar dan pratonton filem tersebut di MM Cinepelex, ECurve, Damansara baru-baru ini.

Kosmo!: Apakah yang membuatkan Aliff menerima tawaran lakonan sebagai teraju utama daripada pengarah tersohor, Profesor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen?

ALIFF SYUKRI: Sejujurnya saya rasa seperti bermimpi kerana ini kali pertama ditawarkan menjadi pelakon. Saya agak terkejut kerana fikir Razak Mohaideen mahu mendapatkan tajaan daripada saya untuk filem ini tetapi tidak sangka, dia menawarkan untuk menjadi teraju utama.

Hal ini kerana ramai pengusaha produk kosmetik yang menaja sesebuah filem tetapi saya berbeza sedikit kerana telah dilamar untuk membintangi filem tersebut.

Apakah perasaan anda apabila kali pertama bergelar pelakon, apatah lagi tidak mempunyai pengalaman sebelum ini?

Saya akui berlakon bukan perkara mudah, apatah lagi perlu bekerjasama dengan barisan pelakon yang sememangnya sudah berpengalaman.

Jika dulu, saya fikir berlakon hanya memerlukan masa selama dua hingga tiga hari sahaja tetapi rupa-rupanya tidak. Malah, selepas beberapa hari menjalani penggambaran saya ada terfikir mahu menarik diri dan memulangkan kembali wang yang diterima kerana tidak mahu menyusahkan pengarah dan pelakon lain.

Bagaimanapun, saya berjaya juga habiskan penggambaran dan berasa seronok dengan apa yang dilakukan selepas melihat hasilnya.

Adakah anda sudah bersedia untuk berdepan dengan komen negatif berhubung penampilan sulung anda dalam filem Badang?

Sebenarnya, saya berdebar menanti penerimaan penonton tetapi saya sudah bersedia menerima kritikan.

Sebagai manusia, sudah tentu ada ketikanya saya sedih melihat komen-komen negatif yang dilemparkan tetapi bagi saya, mereka yang suka melemparkan kecaman itu bukan hebat sangat dan sebenarnya mereka dengki.

Beri saya ruang untuk tunjukkan bakat dan membuktikan yang saya boleh berlakon.

Selepas berlakon dalam filem ini, adakah anda ada menerima tawaran lakonan lain?

Saya ada menerima beberapa tawaran drama dan filem tetapi terpaksa menolak kerana berasakan watak yang diberikan tidak bersesuaian.

Malah, rasanya kerjaya lakonan tidak boleh dilakukan terlalu kerap kerana akan menjatuhkan reputasi saya dalam bidang perniagaan.

Adakah anda masih mahu meneruskan kerjaya lakonan selepas ini?

Berlakon sekadar hobi dan bukannya kerjaya tetap. Jika dikecam teruk, mungkin saya tidak akan berlakon lagi selepas ini.

Filem ini mungkin lakonan kali pertama dan terakhir tetapi jika mendapat sambutan yang menggalakkan apa salahnya, cuma saya akan mengehadkan kemunculan di kaca televisyen.

Saya juga akan mempertimbangkan tawaran berlakon sekali dalam setahun.

ALIFF SYUKRI mahu mengehadkan kemunculan dirinya di kaca televisyen kerana ingin memberi lebih tumpuan pada bidang perniagaan.