Namun kali ini, Alif, 28, yang merupakan seorang pelakon, penyanyi dan pengacara itu telah nekad. Dia telah membuat keputusan untuk berehat daripada lakonan sehingga tahun hadapan.

Aktiviti seni yang sudah ditetapkan dalam jadual kerjanya setakat ini adalah untuk melancarkan single pada hujung Julai, mengacara sebuah program realiti pada bulan Ogos, selain akan sibuk dengan jelajah bersama Raihan pada Oktober depan. Disebabkan itu, kerjaya lakonan perlu direhatkan dahulu.

Alif yang ditemui pada majlis sidang akhbar telefilem Geng baru-baru ini berkata, pada masa sama, dia juga perlu melapangkan jadualnya bagi menyambut kelahiran anak ketiga yang dijangka lahir pada awal Oktober depan.

KOSMO!: Apakah perkembangan terbaharu kerjaya seni Alif?

ALIF: Alhamdulillah, jadual saya sudah agak padat sehingga hujung tahun. Pada hujung bulan ini saya akan melancarkan sebuah single terbaharu. Saya agak teruja kerana single baharu ini dikeluarkan selepas dua tahun tanpa sebarang buah tangan baharu, tidak termasuk lagu kolaborasi dengan Raihan pada Ramadan lalu.

Bagaimana pula dengan tawaran lakonan? 

Buat masa sekarang, saya rehat dulu daripada menerima mana-mana tawaran lakonan kerana saya sudah memilik banyak komitmen. Lagipun saya baru sahaja selesai dengan drama Pia pada Jun lalu. Jadi, mungkin tahun hadapan pula saya akan fokus pada lakonan. Lebihan masa terluang pada tahun ini saya fokus pada nyanyian, kelahiran anak ketiga dan jelajah bersama Raihan.

Boleh kongsikan butiran jelajah bersama Raihan?

Jelajah ini akan bermula pada hujung Oktober dan ditaja oleh Petron. Ia adalah rentetan kejayaan lagu kolaborasi Sesungguhnya pada bulan puasa lalu. Kami akan ke empat buah lokasi iaitu Hard Rock Cafe Melaka, Hard Rock Cafe Johor Baharu, Hard Rock Cafe Pulau Pinang dan Hard Rock Cafe Sabah sebelum terbang ke Australia dan New Zealand. Namun, semua ini masih dalam perbincangan dan saya belum dapat butiran jadual yang tepat.

Apakah pandangan anda apabila peminat mahu anda menyertai kumpulan Raihan?

Saya berasa terharu, tetapi perkara tersebut tidak akan berlaku kerana kerana kami sangat berbeza. Raihan sudah memiliki identiti tersendiri, begitu juga dengan saya. Kami tiada masalah untuk bekerjasama lagi, tetapi agak mustahil untuk bersatu sebagai satu kumpulan. Saya menghormati kumpulan Raihan sebagai senior dan yakin mereka terbaik.

Bagaimanakah perasaan anda apabila bakal menerima kehadiran anak ketiga pada Oktober depan?

Saya dan isteri, Shadila Halid sangat teruja kerana bayi ini akan menjadi anak lelaki sulung kami berdua selepas memiliki dua cahaya mata perempuan. Saya bersyukur kerana keadaan isteri baik sepanjang enam bulan ini. Meskipun ini kehamilan ketiga, tetapi amat berbeza dengan dua kehamilan sebelumnya, mungkin kerana pembawakan anak lelaki. Sebenarnya perkara ini juga antara sebab saya menolak tawaran lakonan kerana mahu mempunyai masa bersama isteri terutama ketika waktu melahirkan kelak.