Menyaksikan ribuan peminat hadir memenuhi lokasi konsert yang selalunya diadakan di stadium atau paling tidak dalam sebuah dewan besar, sudah cukup menggembirakan hati.

Bagaimanapun berpaksikan antara garis realistik isu semasa seperti keadaan ekonomi serta keselesaan dirinya sendiri, Alif mengakui lebih selesa menjayakan jerayawara ataupun persembahan bergerak buat masa ini.

Alasan pelantun lagu Akhiri Penantianku itu mudah, dia mahu berasa lebih intim dengan peminatnya.

“Sebenarnya ramai peminat bertanyakan tentang konsert? Sejujurnya saya tidak yakin untuk mengadakan konsert tetapi lebih gemar dengan persembahan bergerak ke beberapa lokasi berbeza.

“Faktor paling penting adalah keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu, tetapi sebab utamanya saya lebih suka mendekati peminat di banyak lokasi berbeza berbanding hanya di satu tempat.

“Saya boleh anggap itu sebagai situasi menang-menang untuk saya dan peminat. Saya dapat berkunjung ke banyak tempat, manakala bagi peminat pula, mereka boleh pergi ke tempat lain sekiranya tidak sempat hadir ke lokasi terdahulu,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk minyak masak sawit jenama Alif keluaran Sime Darby Oils di ibu kota baru-baru ini.

Konsert

Pada majlis berkenaan, Alif turut diumumkan bergandingan dengan cef selebriti, Cef Nik Michael Imran menerusi program Mastaclass Goreng.

Berkongsi percaturannya tentang penganjuran sebuah persembahan untuk peminatnya, lelaki berusia 29 tahun itu akan berganding bahu melangsungkan sebuah konsert amal bersama kumpulan nasyid Raihan di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, ibu kota pada November depan.

Sudah banyak kali tampil mengadakan persembahan bersama kumpulan nasyid yang mula bertapak sejak tahun 1996 itu, ukhwah antara mereka akan dilanjutkan menerusi sebuah projek lain tidak lama lagi.

Kongsi Alif, mereka kini sedang merangka perancangan untuk menghasilkan sebuah lagu bersama. Cuma status lagu berkenaan, sama ada gubahan baharu ataupun lagu lama yang diberi nafas segar, semuanya disimpan kemas oleh Alif.

“Saya membesar dengan lagu-lagu Raihan, begitu juga dengan ramai orang di luar sana. Selepas kami muncul dengan lagu Sesungguhnya, penerimaan yang diterima sungguh luar jangkaan.

“Situasi itu membuktikan bahawa lagu nasyid lama daripada Raihan mengandungi unsur nostalgia yang sangat kuat dalam diri khalayak. Insya-Allah lagu baharu kami akan dikeluarkan pada bulan Ramadan tahun depan,” ujarnya teruja.

Haji

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang perasaannya selepas hajat untuk menunaikan ibadah haji tidak kesampaian sekitar bulan lalu, Alif ternyata terkesan dan bersedih kerana perancangan tersebut terbatal pada saat akhir.

Pada waktu tersebut, Alif sebenarnya sudah mempersiapkan diri dengan mengikuti kursus haji anjuran Neelofa yang diadakan di kediaman keluarga selebriti itu.

“Mestilah saya sedih. Sedangkan ketika menerima tawaran itu, saya sendiri sudah mengikuti kursus haji di rumah Neelofa. Tetapi akhirnya saya gagal juga ke sana.

“Tidak mengapa. Saya yakin ada hikmahnya. Maksudnya, belum sampai lagi seru saya untuk menunaikan ibadah haji,” katanya.

Ironi, situasi tersebut merupakan panggilan haji kedua yang diterimanya. Panggilan pertama sebelum ini juga gagal bersambut disebabkan komitmen kerja.

Berdepan dua kali kegagalan menyahut panggilan haji sebenarnya membuat Alif bermuhasabah tentang diri, mungkin ada perbuatannya yang tidak wajar sehingga impian suci (haji) masih belum diizinkan Allah.

“Saya ingat balik apa yang pernah saya doa ketika menunaikan umrah. Alhamdulillah apa yang saya doakan di sana, saya sudah dapat pada hari ini. Mula-mula saya fikir, mungkin ada tindakan saya yang tidak ikhlas.

“Sehinggalah saya teringat tentang doa yang pernah dipanjatkan di depan Kaabah. Saya minta kepada Tuhan agar diberikan rezeki dan peluang kepada kedua-dua orang tua saya menunaikan haji terlebih dahulu dan kemudian barulah giliran saya.

“Rupa-rupanya doa itu yang ‘menyekat’ saya selama ini. Sedangkan untuk pergi menunaikan umrah berkali-kali pun tiada masalah. Selepas saya teringat tentang perkara itu, barulah hati saya tenang,” kata Alif yang bakal mengerjakan ibadah umrah sekali lagi pada awal tahun depan.

Memahami situasi ekonomi semasa yang kurang memberangsangkan, penyanyi Alif Satar mengakui kurang yakin untuk mengadakan konsert biarpun mendapat permintaan tinggi daripada peminat. Sebaliknya, dia lebih selesa untuk menjayakan sebuah persembahan bergerak untuk lebih dekat dengan peminat.