Kebolehan menjiwai pelbagai karakter yang berbeza, bakat lakonan yang tidak perlu dipertikaikan serta aura seorang heroin dalam diri anak kepada pengarah serta penerbit popular Mahesh Bhatt itu menjadikan Alia aktres buruan setiap pengarah di Mumbai, India.

Bagaimanapun, sebagai individu seorang yang membesar dalam industri perfileman, Alia tidak mudah bersetuju sahaja dengan sesiapa yang ingin bekerja dengannya. Biarpun boleh dikategorikan masih baharu, dia selesa bersikap selektif.

Kata Alia yang mula mencipta nama menerusi filem Student Of The Year pada 2012 arahan Karan Johar, dia tidak boleh bekerja dengan orang yang dia tidak sukakan hasil kerjanya. Akuinya juga, dia seorang yang mementingkan kesempurnaan dalam setiap filem yang dilakonkan.

Tambahnya lagi, memandangkan bapanya adalah orang kuat industri maka dia juga sudah terbiasa dengan selok-belok kehidupan sebagai seorang selebriti, sekali gus menjadikan Alia seorang artis yang sangat menjaga reputasi dan sukar dijentik kontroversi terutama dari sudut peribadi.

Dalam satu temu bual eksklusif Alia seperti yang dipetik daripada majalah Filmfare, Alia menceritakan hala tuju kerjaya, privasi kisah cinta bersama Ranbir Kapoor dan persaingan yang diterima dilabel pelakon paling mahal dibayar di Bollywood.

Cemerlang dan meraih kemasyhuran pada usia 25 tahun, adakah situasi sebegitu mempengaruhi pemikiran Alia menjadi matang berbanding wanita muda lain?

ALIA: Mungkin. Adakalanya saya merasakan corak pemikiran saya seperti orang yang berusia 40 tahun. Namun ada masanya, saya masih mengingatkan diri sendiri bahawa saya baru berusia 25 tahun dan tidak terlalu memaksa diri untuk melangkaui umur sebenar. Kadang-kadang, otak saya mempengaruhi dan menghalang saya daripada berseronok seperti wanita muda lain yang seusia.

Adakah itu bermakna anda masih mencari identiti sendiri?

Bukan begitu. Bagi saya ada baiknya kita tidak mudah berasa selesa dengan hanya satu perkara dalam hidup. Apabila cara pemikiran kita berubah mengikut situasi dan bukan pada bertambahnya umur, ia membantu untuk kita berpijak di bumi nyata. Sebagai pelakon yang dalam lingkungan usia 20-an, saya tidak mahu hanyut dengan bayangan bahawa selamanya akan muda dan menjadi hiasan poster iklan. Harus diakui, saya seorang yang banyak kemusykilan, jika ada perkara yang saya suka atau tidak, ia akan diluahkan menerusi riak wajah. Saya bukan seorang selebriti yang akan sentiasa tersenyum dan memberi tanggapan bahawa hidup ini hanya dipenuhi kegembiraan.

Sebagai figura yang dikenali, bagaimanakah anda berdepan dengan tekanan untuk sentiasa tampil sempurna dan memuaskan hati peminat?

Saya pilih untuk menjadi senormal yang mungkin (tertawa). Saya sentiasa beritahu kepada peminat bahawa saya bukanlah istimewa, sebaliknya individu yang ada masanya menangis waktu muka ditumbuhi jerawat atau boleh berubah emosi dengan sekelip mata hanya dengan memakan ais krim.

Satu cara lagi, saya tidak membenarkan orang lain meletakkan beban atas bahu saya kecuali saya yang memilihnya. Seperti contoh, kalau saya mahu kelihatan cantik atau kurus, ia adalah disebabkan keinginan sendiri dan bukan kerana tuntutan kerja atau sebagainya. Bagi saya, kelihatan sempurna bukan bermaksud perlu sentiasa berdandan tetapi lebih terhadap perasaan gembira, ceria dan sentiasa sihat.

Menjadi pelakon bukan sesuatu yang mudah, jadi bagaimana anda menangani kekangan waktu terutama apabila dibebani jadual yang padat?

Percaya atau tidak, di sebalik semua kesibukan jadual harian, saya akan pastikan tetap mempunyai masa untuk diri sendiri. Setiap kali saya pulang dari set penggambaran, saya akan luangkan masa untuk menjadi diri sendiri dan bukan Alia Bhat, seorang aktres. Saya tenangkan fikiran dengan menonton televisyen, membaca buku kegemaran dan bermain dengan peliharaan. Saya bukan seorang yang gila bekerja sehingga tiada masa untuk berehat. Saya perlukan masa rehat kerana jika tidak, badan saya akan menjadi lesu dan kualiti kerja akan menurun atau mungkin mendatar sahaja.

Lazimnya seseorang aktres jarang memuji sesama sendiri, namun berbeza dengan anda apabila selalu menerima pujian daripada pelakon senior seperti Katrina Kaif, Kareena Kapoor dan Priyanka Chopra. Bagaimana respons anda terhadap pujian daripada mereka?

Saya seorang wanita yang baik (ketawa besar) dan jujurnya, nama-nama yang disebut itu juga pelakon yang baik serta banyak memberi tunjuk ajar kepada saya sepanjang bekerjasama dalam industri.

Saya memang rapat dengan ramai pelakon wanita terutamanya Katrina dan Priyanka kerana kedua-duanya memberikan saya inspirasi untuk mengorak kejayaan yang sama atau mungkin lebih daripada mereka. Saya sukakan orang memiliki semangat juang yang tinggi, fokus dan selalu nekad dalam sebarang pekerjaan. Saya seorang yang setia dalam berkawan dan percaya, sahabat baik akan sentiasa menyokong saya sepertimana saya sentiasa ada untuk mereka pada waktu susah dan senang.

Menyentuh sedikit soal peribadi, bagaimana anda berdepan dengan pertanyaan yang kurang menyenangkan tentang kekasih atau cinta?

Mereka yang bertanya yang sepatutnya berasa kurang senang atau tidak selesa kerana saya sudah nyatakan pendirian berkenaan peribadi sejak awal kemunculan lagi. Kisah peribadi adalah hak saya dan tidak perlu dikongsi andai ia dirasakan bukan satu keperluan. Saya tidak kisah wartawan hendak menulis apa sahaja berkenaan kisah peribadi saya, cuma tiada sebarang komen akan diberikan kecuali ia sampai ke tahap mencalarkan reputasi. Semudah itu sahaja prinsip saya.

Jadi, sejauh mana hubungan anda dengan Ranbir Kapoor?

Ia berjalan seperti biasa dan saya semakin mengenalinya dengan lebih dekat. Ia berbeza sewaktu usia saya 15 tahun dan sekadar meminati Ranbir dari jauh. Sekarang kami benar-benar berkawan dan berlakon bersama. Dia sebenarnya seorang yang ringkas, tidak terlalu mencuba dan sentiasa menjadi diri sendiri. Itu antara sifat Ranbir yang paling disukai. Sewaktu kami berlakon bersama, dia seorang yang neutral maksudnya apa sahaja hubungan kami di luar penggambaran tidak menjejaskan fokusnya dalam filem.

Ramai kawan rapat anda yang sudah dan bakal berkahwin, adakah anda juga akan mengikuti jejak langkah mereka tidak lama lagi?

Pastinya bukan sekarang, saya tidak mempunyai sebarang perancangan ke arah itu. Namun bagi saya, perkahwinan adalah sesuatu yang sangat indah dan saya mahukan ia berlaku dalam hidup saya pada masa hadapan.

Baru berusia 25 tahun, kejayaan Alia Bhatt mencatat nama sebagai antara pelakon paling mahal dibayar di Bollywood membuktikan kemampuan dia digelar pelapis heroin generasi baharu setanding dengan pelakon senior lain.