Kerjasama tersebut membolehkan penumpang AirAsia menikmati seleksi rancangan pilihan seperti drama, filem, gaya hidup, dokumentari, permainan dan kanak-kanak dari ketinggian 10,000 kaki di udara.

Kemudahan itu diperkenalkan buat kali pertama menerusi penerbangan pesawat AirAsia yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Kota Kinabalu, Sabah pada 7 November lalu.

Rombongan tersebut turut diserikan dengan penampilan wajah Tonton iaitu Ayda Jebat dan Redza Rosli selain pengacara rancangan Let’s Cycle di saluran 8TV, Baki Zainal dan Rickman Chia.

Menurut Pengurus Besar Tonton, Ben Jern Loh, pihaknya teruja kerana dapat merealisasikan impian penumpang pesawat AirAsia untuk menikmati pelbagai rancangan pilihan semasa di udara.

“Kerjasama ini adalah satu bentuk kejayaan yang boleh dibanggakan kerana Tonton menjadi platform atas talian pertama yang merealisasikan evolusi pengalaman tontonan di udara pada ketinggian 10,000 kaki.

“Dengan adanya kemudahan seperti ini, kami berharap agar penumpang AirAsia dapat menikmati pengalaman unik dan luar biasa sepanjang perjalanan mereka ke destinasi yang dituju,” ujarnya pada majlis sidang media yang diadakan di Tune Hotel Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Perkara berkenaan turut disokong Ketua Kumpulan Ancillary AirAsia, Choudhury Hassan Peter yang menganggap jalinan kerjasama tersebut merupakan satu tanda aras baharu dalam penyediaan perkhidmatan terbaik kepada penumpang AirAsia.

“AirAsia sentiasa mengutamakan kemudahan dan keselesaan penumpang dengan menawarkan pengalaman penerbangan digital seperti kemudahan beli-belah secara online dengan tawaran eksklusif di ROKKI Shop. Jadi, kerjasama ini terbukti mampu memberi kepuasan dan mencipta kelainan buat penumpang,” katanya.

Rombongan pada hari itu juga turut disediakan dengan slot lawatan ke Perkampungan Budaya Mari Mari yang terletak di Inanam, Kota Kinabalu.

Lawatan tersebut bertujuan memberi pengalaman kepada peserta untuk mengenali budaya, sejarah dan kehidupan suku kaum yang terdapat di negeri itu seperti Kadazan-Dusun, Bajau, Rungus, Lundayeh dan Murut.

Antara aktiviti yang disediakan adalah melawat replika rumah panjang suku kaum Rungus, diterangkan tentang proses membuat air minuman tapai, lemang dan madu lebah asli.

Lebih menarik, peserta turut disajikan dengan persembahan tarian tradisional Sabah selain memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman menari menggunakan buluh iaitu tarian Magunatip.

Evolusi

Sementara itu, Ayda melahirkan rasa teruja kerana tugasnya sebagai wajah Tonton boleh menyalurkan informasi kepada peminatnya tentang perkhidmatan baharu tersebut.

“Komitmen saya dan Redza tidak terlalu berat dalam rombongan ini kerana hanya sebagai kejutan. Kami perlu berinteraksi dengan penumpang sepanjang penerbangan ke Kota Kinabalu menerusi permainan kuiz yang disediakan.

“Ia sekali gus penampilan dapat memberi maklumat kepada peminat tentang kemudahan ini,” katanya.

Begitu juga dengan Redza yang menyifatkan kemudahan seumpama itu adalah impian untuk semua penumpang penerbangan.

“Sejujurnya, saya sangat teruja dengan kerjasama ini kerana ia memberi lembaran baharu kepada perkhidmatan di dalam pesawat. Sebagai selebriti yang sangat sibuk, ia memberi keselesaan kepada saya untuk menonton apa sahaja bahan seperti filem dan permainan,” ujarnya.