Perlambangan tersebut menyimpulkan seluruh sifat seni milik sosok lelaki yang setia dengan topi baret di kepalanya itu.

Khalid, seperti yang diperakui seluruh kerabat karyawan skrin dan sastera sebagai bukan sekadar pelakon tetapi beliau juga penyair, penulis, pengarah dan aktivis teater yang cukup penting dalam dunia seni tanah air.

Lebih besar lagi, beliau seorang pemikir yang memberatkan budaya dan hakikat Pencipta dalam penulisannya.

Baginya, kesenimanan dan kesedaran kemanusiaan hanya sebuah perkara. Sempadannya adalah sedar ruang, sedar diri dan sedar Tuhan. Jika ada semua elemen yang saling berkait tersebut, selamatlah hidup tidak kira dalam pengkaryaan apa pun.

Lihat sahaja karya-karyanya yang bercerita secara kritik dan kritis seperti dalam Jual Ubat yang membawanya pusing keliling bukan sahaja di dalam negara, bahkan seluruh Nusantara.

Khalid bukan sekadar menjual tiket hiburan kepada penonton tetapi dari pentas teater monolog dengan jumlah penonton yang sedikit itulah, beliau menjadi pemikir masa menyukat kesedaran dan mengalih banyak persepsi khalayak tentang hakikat dan kemurnian kehidupan.

Begitu juga dalam Kena Main, teater yang pernah dipentaskan di Istana Budaya pada awal tahun 2015. Kisahnya masih tentang percaturan hidup, buta mata bukan buta hati, bahkan orang yang dapat melihat tetapi tidak semuanya nampak.

Bakat seni Khalid bukan diterokai dalam mana-mana pertandingan mencari pelakon atau sekolah seni. Sewaktu masih di sekolah menengah dan menetap di Batu Pahat, Johor, beliau mementaskan teater pertama untuk tabung pembinaan sekolah rakyat. Sekolah itu kekal sehingga kini menjadi sekolah kerajaan.

Sekitar tahun 1970-an di Kuala Lumpur, beliau benar-benar menjual ubat sebelum bergabung dengan Anak Alam, sebuah kelompok seni yang disertai penulis, penyair, pelukis, penyanyi dan aktivis teater. Penampilan pertamanya, meniti di atas seutas tali dalam pementasan teater Bukan Bunuh Diri telah meletakkan beliau sebagai salah seorang pelakon hebat tanah air.

Pilihan ibu U-Wei

“Saya kenal beliau yang anehnya daripada emak saya. Selama 14 tahun saya belajar di Amerika Syarikat, emak kata, kalau dia rindukan saya, dapat tengok drama lakonan Khalid, hilang rindunya. Saya pelik dan tertanya-tanya siapa Khalid Salleh.

“Saya tidak rasa emak salah. Apabila bertemu dengannya, mula-mula ada benteng. Jadi, saya kena buktikan sejauh mana benarnya saya. Daripada itu, silaturahim kami terpasak dengan cepat dan kuat. Banyak tahun kemudian barulah saya beritahu beliau, sebenarnya orang yang casting beliau dalam naskhah saya (Kaki Bakar) bukanlah saya tetapi emak saya. Masa itu sekitar tahun 1980-an.

“Saya ini mualaf seni. Saya pergi belajar tetapi Khalid pula lahir dengan seni, dia seniman. Beliau buktikan semua sifat seni ada pada dirinya. Ikut istilah seni dalam konteks sebenar, dia ada semua, beliau kuat agama, budaya dan adab,” luah U-Wei yang meletakkan Khalid sebagai satu daripada lima seniman terbaik negara sepanjang zaman.

Mengakui masih sebal dan kurang bijak menyusun kata-kata terbaik buat sahabatnya, U-Wei juga boleh disifatkan insan paling penting dalam karier sinema Khalid. Bermula dengan Kaki Bakar, kemudian diikuti Jogho, Buai Laju-Laju dan terakhir Hanyut, Khalid seumpama tenaga yang menjadi peluru naskhah beliau.

Dalam Kaki Bakar, mereka sama-sama ke Festival Filem Antarabangsa Cannes, Perancis (1995) dan Jogho, menerusi watak Mamat, Khalid muncul sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (1999), sekali gus menjadi aktor Malaysia kedua memenangi trofi tersebut selepas Tan Sri P. Ramlee.

“Sebab itulah perginya Khalid beri impak mendalam buat saya. Beliau tidak sahaja terlibat dalam pekerjaan tetapi dalam wilayah sosial dan kehidupan saya. Saya tidak dapat menyusun kata-kata yang lebih bijak dan cerdik untuk beliau. Bercerita begini sahaja, saya sudah merinduinya.

“Saya hilang kawan, abang dan bakat yang saya kagum. Ia tidak akan berganti. Bercerita tentang beliau amat mengganggu. Saya mahu menghargai kerinduan ini. Tanyakan kepada saya siapa seniman? Atas lima jari saya, beliau salah seorang.

Beliau seniman yang berdikari, tidak minta simpati orang dan hanya takut kepada Tuhan,” jelas U-Wei yang sempat bertemu Khalid, 10 hari sebelum menghembus nafas terakhir.

Anak Alam

Daripada penjual ubat di kaki lima ke pentas teater dan kemudiannya bersinar menjadi bintang filem, kemampuan Khalid memang luar biasa dan tidak selalu ditemui. Beliau adalah seniman rakyat!

Sebagai insan yang pernah sama-sama bergiat dalam teater pada awal 1980-an, Tan Sri Johan Jaaffar yang juga mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan bersetuju dengan kenyataan tersebut. Bahkan, Johan pernah bercakap dengan U-Wei bahawa Khalid seorang yang dikenali kerana tenaganya.

“Jika sedang berjalan, beliau ibaratnya seperti terbang bersama sayap-sayap yang melibas-libas; sayap-sayap kata dan karakter.

“Saya percaya kesenimanan Khalid tidak perlu dibentuk. Ia secara natural lahir daripada kemampuan bakat dan alam beliau.

“Bakatnya dilihat oleh Krishen Jit dan dibawa ke dalam teater tulisan Dinsman berjudul Bukan Bunuh Diri. Ketika itu, khalayak di Kuala Lumpur melihat bakat luar biasa yang ada padanya.

“Saya fikir kerana pengalaman beliau menjual ubat, kemampuan teaternya terserlah tanpa perlu banyak latihan. Dengan kekuatan fizik dan ketekunan, beliau adalah tokoh teater yang beri nafas baharu terhadap teater Malaysia sejak awal tahun 1980-an.

“Beliau percaya pada disiplin seorang aktor dan pengarah. Beliau banyak beri kualiti lakonan itu kelebihan beliau dengan mudah bawa watak teater dan filem.

“Tidak selalu kita jumpa seorang penjual ubat menjadi seorang karyawan teater dan filem yang berjaya tetapi Khalid berbeza. Beliau telah memanfaatkan kreativiti dan bakat alam yang ada pada dirinya untuk menulis semula cara atau konsep lakonan bermutu di pentas dan filem,” ujar U-Wei.

Kelmarin, sewaktu berteleku menjadi saksi sekujur jenazah perlahan-lahan dimasukkan ke liang lahad, hati penulis tidak henti berbisik: “Wak sudah tiada..., Wak sudah tiada...”.

Figura yang cukup selesa dibahasakan sebagai Wak itu sedang berjalan mengadap Ilahi, beliau pulang ke daerah fitrahnya ke alam baqa, sendiri. Selama ini pun, beliau memaknakan kesendirian yang sering dijalaninya sebagai seniman. Beliau semahu-mahunya dan sekuat-kuatnya bergerak sendiri mengemudi layar seninya dengan izin Ilahi.

Hibanya bukan kepalang dan perasaan itu diyakini penuh sedar sedang bergulung-gulung membungkus senja merah di kepala ratusan sahabat-handai, kenalan dan keluarga terdekat yang turut menghantar mudik terakhir beliau.

Momen

Salah seorang daripada mereka termasuk Adlin Aman Ramli, pelakon yang pernah bersamanya dalam Jogho dan Buai Laju-Laju.

“Dalam falsafah seni, beliau adalah jaguh. Ilmu yang paling hebat saya pernah dapat adalah ketika U-Wei, Eman Manan, Khalid dan saya bekerjasama. Anggaplah saya budak yang menyaksikan tiga orang hebat itu berpolemik dan bercerita tentang macam-macam hal. Itu sangat dahsyat, saya dapat ilmu itu. Itu kenangan yang tidak boleh dilupakan. PhD saya di situ.

“Wak pula, kesenimanannya memang lengkap dan menyeluruh, bukan hanya pelakon tetapi pemikir. Semoga generasi hari ini boleh cari masa untuk tengok balik peninggalan dan pemikiran dalam karya beliau,” luah Adlin.

Dalam dunia sastera dan puisi, kelibat Wak tidak janggal di Rumah Pena yang menjadi pusat perhimpuan penulis nasional di ibu kota. Di situ, beliau tidak hanya hadir memeriahkan sebarang acara deklamasi, namun menjadi tukang susun kerusi dan menyapu sampah sekiranya ada majlis hendak berlangsung. Rumah Pena adalah rumah kedua beliau.

Dari kaca mata pengamal media pula, imej Wak yang tegas barangkali menggerunkan sesetengah wartawan, namun saat didekati dan menyatukan pandangan tertancap ke dalam pemikirannya, keterbukaan Wak tidak sukar diselak terutama dalam isu seni dan budaya.

Satu hal yang menarik, biarpun sinonim dilihat sebagai orang Jawa dan mampu menuturkan dialek Jawa dengan baik, Wak juga betah meniru lenggok siapa lawannya.

Jika dengan orang Pantai Timur seperti penulis, Wak gemar bersapa dalam loghat Terengganu dan Kelantan. Lidah beliau cukup mafhum berjenaka stail orang kampung. Lagaknya tidak ubah seperti pak cik-pak cik bercerita di warung tepi jalan sambil menghirup teh tarik, biarpun beliau salah seorang aktor terbaik Asia! Itulah Wak Khalid.

Selepas promosi filem Hanyut bahkan tidak hadir pada dua acara anugerah melibatkan perfileman, sebenarnya hampir setahun juga Wak berdiam. Beliau barangkali cuba mengubati atau menemukan ‘ubat’ penyakitnya secara alami.

Sepanjang sakit, beliau tidak pernah ke hospital atas entah apa alasan, sedangkan isterinya, Hamidah Abdullah, 60, seorang jururawat di sebuah pusat perubatan swasta terkenal. Cuma enam jam sebelum menghembuskan nafas terakhir, Khalid akur permintaan surinya.

“Sebelum itu, arwah kata sudah sampai masa untuknya pergi tetapi saya tidak reda selagi arwah tidak ke hospital. Barulah arwah setuju mahu ke hospital dan tidak sampai enam jam buat rawatan, arwah pergi,” luah Hamidah seperti yang penulis mencuri dengar daripada perbualannya bersama kenalan yang menziarah.

Selamat berpulang ke negeri abadi Wak Khalid. Untuk manfaat ilmu, falsafah budaya dan pemikiran seni yang ditinggalkan, semoga ia menjadi ibadah seterusnya bekal cahaya buat Wak di sana. Al-Fatihah.