Menurut Fauziah, 66, dia telah pun membuat laporan berkenaan isu tersebut di salah sebuah balai polis di Shah Alam, Selangor semalam kerana bimbang akan terpalit dengan penipuan tersebut.

“Laporan polis sudah saya lakukan dan minggu depan saya diminta untuk ke Surujanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Cyberjaya bagi membantu melengkapkan siasatan lanjut.

“Sebelum ini saya pernah juga kena perkara sama tapi kali ini sudah melampau hingga mengaibkan nama dan imej sekali gus menggunakan nama saya sebagai public figure untuk kepentingan peribadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah pelakon drama Curi-Curi Cinta itu, akaun palsu atas namanya itu sengaja dicipta oleh individu tidak bertanggungjawab dengan tujuan mengutip dana untuk pertubuhan dan rumah kebajikan.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, saya tidak pernah ada rumah mahupun pertubuhan kebajikan. Itu semua penipu. Jangan sesekali terima fried request daripada akaun tersebut.

“Mohon jangan mudah terpedaya dengan helah scammer itu. Saya tidak pernah buat kutipan dana untuk sebarang rumah atau persatuan kebajikan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Fauziah turut berterima kasih kepada orang ramai yang sudah melaporkan tentang perkara tersebut di Facebook.

Terdahulu, seniwati merangkap aktivis teater negara itu ada memuat naik semula status yang ditulis seorang sahabatnya di Instagram peribadi miliknya selain memohon orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya diminta untuk membuat apa-apa sumbangan. - K! ONLINE