Antara yang tampil ingin menaja adalah pereka fesyen yang pernah mereka baju untuk digayakan oleh bintang Hollywood seperti Paris Hilton, Taylor Swift dan Jessi J iaitu Amir Kadir.

Dalam pada itu, pereka fesyen terkenal, Calvin Thoo turut meluahkan hasrat ingin menaja busana istimewa khas untuk pelantun lagu Janji Manismu itu jika berjaya ke peringkat akhir GV4.

Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin yang ditemui usai konsert GV4 minggu ketiga pada Ahad memberitahu Kosmo! bahawa dia telah menerima tawaran daripada lebih 50 penaja.

Menurut Aishah, bukan hanya tajaan busana, malah ada yang tampil ingin menaja produk kecantikan dan kesihatan buatnya.

Tidak mahu disifatkan sebagai diva apabila isu tersebut mula hangat, Aishah sangat bersyukur kerana ramai pihak tampil memberi sokongan kepadanya untuk meneruskan perjuangan dalam program tersebut.

KOSMO!: Apa perasaan Aishah apabila ramai pereka tampil ingin menaja busana anda dalam GV4?

Aishah: Saya memang tidak sangka dan amat terharu. Alhamdulillah, bukan saya ingin bersikap diva atau mengada-gada.

Apabila ramai yang sudah tampil ingin menaja sekarang ini, saya perlu fikirkan banyak hal. Justeru, buat masa sekarang saya akan bergilir-gilir mengayakan busana pereka fesyen yang sudi menaja pakaian buat saya agar tidak ada yang kecil hati kelak.

Jujur saya katakan, sebelum ini saya tidak pernah memikirkan soal penampilan atau pakaian, sebaliknya hanya memberi fokus untuk menyanyi di atas pentas.

Setakat ini, berapa ramai pihak atau individu yang tampil ingin menaja busana anda sepanjang GV4 berlangsung?

Ya Allah, memang ramai. Lebih daripada 50 individu termasuk dari Singapura ingin menaja saya. Apa yang kelakar ialah ada yang ingin menaja saya produk kopi kurus.

Bukan itu sahaja, ada yang melihat saya tidak selesa berjalan, ingin menaja kos fisioterapi buat saya.

Tajaan tudung atau solekan, tidak usah cerita, memang banyak. Kalau boleh saya ingin beri layanan sama rata kepada mereka yang ingin menaja saya.

Bercakap tentang persaingan di dalam GV4, bagaimana anda melihat persaingan peserta lain setakat ini?

Sejujurnya, semua peserta memang hebat. Saya tidak mahu terlalu fikirkan soal persaingan kerana itu hanya akan membuatkan saya tertekan. Apa yang saya lakukan hanya berseronok di atas pentas.

Pada awal penyertaan dalam GV4, saya seperti terkena kejutan budaya kerana suasana sekarang amat berlainan berbanding dulu. Misalnya, menyanyi menggunakan monitor memang agak asing buat saya. Jadi, masa mula-mula bertanding, saya menyanyi hanya ikut gerak hati.

Bagaimanapun, sekarang saya sudah semakin selesa dengan penggunaan monitor.

Apabila peserta lain sudah menunjukkan taring masing-masing, tidakkah anda rasa tercabar?

Saya akui tidak sabar untuk menyanyikan lagu-lagu berbahasa Inggeris atau Irama Malaysia.

Buat masa sekarang, memang belum dapat lagi. Rasa tercabar, itu bukan persoalannya kerana apa yang penting adalah berseronok di atas pentas.

Menang atau kalah itu bukan tujuan utama kerana saya menyifatkan diri sebagai peserta bukan pilihan dalam program ini.

Apa yang paling membuatkan saya gembira adalah apabila semakin ramai orang mula menyedari kewujudan semula saya dalam industri.

Aishah ingin bergilir-gilir mengayakan busana pereka fesyen yang sudi menawarkan tajaan kepada dirinya.