Ketiga-tiga penyanyi itu mengalirkan air mata ketika diminta berkongsi pengalaman dan hubungan antara mereka selepas bersama-sama bertungkus lumus menjayakan konsert sulung di Istana Budaya, di sini.

Menurut Sarah, tangisan kesemua rakannya yang sudah dianggap umpama keluarga adalah kerana pengorbanan dilakukan setiap daripada mereka sepanjang proses pementasan konsert berkenaan.

"Konsert ini bukan untuk menunjukkan siapa yang hebat. Konsert ini pada dasarnya adalah mengenai keseimbangan setiap penyanyi. Saya yakin setiap daripada kami telah mengorbankan banyak perkara dalam konsert ini.

"Kami di atas pentas bukan lagi sebagai penyanyi individu tetapi seperti keluarga," jelas pelantun Semakin itu pada sidang media di Istana Budaya malam tadi.

Terdahulu, trio Soul Sisters mengadakan persembahan eksklusif khas untuk pengamal media dengan menyempurnakan empat segmen.

Antara lagu yang disampaikan adalah Cinta Adam dan Hawa, Lady Marmalade, Jangan Kau Mimpi, Mulanya Di Sini dan Khalayan.

Kesemua mereka turut menyampaikan lagu Inggeris secara solo menerusi Listen oleh Siti Sarah, Unbreak My Heart (Noryn Aziz) dan Run To You (Misha Omar).

Konsert berkonsepkan soul dan R&B itu dibawa oleh produksi Edd Razhe Entertainment (ERE) berlangsung selama dua hari di Istana Budaya bermula hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, menurut Pengarah Urusan ERE, Edd Razhe, Soul Sisters adalah konsert pertama menggabungkan tiga vokal wanita hebat negara.

Peminat tempatan hanya berpeluang menyaksikan konsert berkenaan eksklusif di Istana Budaya sepanjang dua hari persembahan. - K! ONLINE