KERJASAMA Untuk album perdananya kelak, Ayda bakal bekerjasama dengan penerbit dari Malaysia dan Ind
KERJASAMA Untuk album perdananya kelak, Ayda bakal bekerjasama dengan penerbit dari Malaysia dan Indonesia.

Dicipta oleh Omar K dan Ezra Kong dengan lirik tulisan Omar K dan Ayda sendiri, lagu berentak pop santai tersebut disambut baik khalayak. Ditambah dengan popularitinya yang sedang mendadak naik menerusi drama Rindu Awak 200% dan M.A.I.D, nama Ayda kian mekar di bibir peminat, menjadikannya sebagai antara pelakon dan penyanyi wanita popular pada waktu tersebut.

Kecemerlangan anak jati Melaka itu dalam industri muzik terbukti menerusi pengiktirafan yang diterima pada Anugerah MeleTOP ERA 2016 (AME2016) apabila berjaya memenangi kategori Penyanyi MeleTOP dan Lagu MeleTOP menerusi Siapa Diriku. Selain itu, Ayda turut menerima anugerah Anugerah Top Top MeleTOP Wanita.

Tahun berikutnya, Ayda terus menyita jiwa pendengar dengan single keduanya, Pencuri Hati. Mencetuskan impak yang sangat luar biasa, single ciptaan Kevin Chin dan Ayda itu turut disambut baik oleh peminatnya di Indonesia. Lebih manis, lagu tersebut turut digunakan sebagai runut bunyi untuk telefilem berjudul Rebutan Cinta Sekretaris Mental di negara republik berkenaan.

Populariti yang diraih Ayda sampai ke kemuncak apabila pada tahun sama, dia membawa pulang tiga anugerah menerusi Anugerah Planet Muzik 2016 (APM2016). Anugerah-anugerah tersebut adalah Lagu Paling Popular APM (Pencuri Hati), Artis Paling Popular APM dan Ikon Media Sosial One Drop Perfumes.

Tentunya juga, jiwa besar Ayda mekar berbunga memandangkan kejayaan tersebut sekali gus mengalahkan populariti lagu dan artis-artis negara-negara serantau yang lain.

Di sebalik momen indah yang diraih, Ayda bagaimanapun mengakui teringin untuk menggenggam pengiktirafan terbaik hasil penilaian juri bertauliah.

“Bukan saya mahu menidakkan anugerah yang berteraskan undian. Saya akui, anugerah yang diundi peminat juga penting kerana kita berdiri di sini kerana peminat.

“Namun, saya juga mahu bakat diiktiraf secara profesional. Jadi, tidak salah jika saya memburu gelaran terbaik dalam lapangan seni yang dikerjakan,” begitulah luahan Ayda sewaktu namanya sering disebut sebagai penerima anugerah-anugerah bersandarkan undian peminat.

Ayda tidak pernah berputus asa, apatah lagi lelah dalam mencuba. Dia juga tidak gemar melayan cakap-cakap negatif khalayak dan cuba memberi fokus terbaik terhadap apa yang sedang diusahakan.

Justeru, apabila single ketiganya, Mata yang bunyinya kedengaran agak berlainan berbanding lagu-lagu tempatan sedia ada kurang mendapat sambutan, Ayda tidak putus harapan.

Keyakinan Ayda terhadap lagu ciptaan bersama Audi Mok dan Shazee Ishak tersebut tidak pernah berkurangan. Sebaliknya, dia percaya bahawa muzik bersifat universal dan dapat diterima sesiapa sahaja.

Kepercayaan dan keyakinan yang selama ini melekap kuat pada dinding hatinya akhirnya terbayar apabila Mata dinobatkan sebagai Lagu Terbaik (Malaysia) pada APM2018 di Singapura baru-baru ini.

Sambil deras mengalir air ‘Mata’ gembira sewaktu judul lagu tersebut diumumkan oleh penyampai anugerah, Ayda menyifatkan detik tersebut sebagai momen yang bakal diingati sampai bila-bila.

“Benar, sabar itu indah. Tambah istimewa apabila lagu nyanyian saya diterima tiga negara serantau iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura,” ujar Ayda sambil mengukir senyuman.

Menyifatkan kemenangan tersebut sebagai kayu pengukur untuk dirinya dan artis lain, Ayda berkata, dia mahu terus berkarya dan memberikan yang terbaik kepada industri muzik pada masa akan datang.

“Anugerah ini memberi tamparan hebat kepada saya. Ia memberi kesedaran agar saya tidak mengehadkan kreativiti dan apa yang mahu dilakukan dalam muzik.

“Kita perlu lebih bebas berkarya dan percaya dengan produk sendiri. Jangan mudah patah semangat jika ada yang tidak menggemari karya kita kerana saya percaya, akan ada orang lain yang akan menghargainya,” ujar Ayda positif.

Menurut Ayda, keberadaannya dalam industri bukanlah sekadar mahu menyanyi dan menghiburkan orang. Dia ingin memberi teladan dan dalam masa sama, mendidik khalayak untuk menerima muzik yang beredar mengikut zaman.

“Jika lihat senarai pemenang pada APM2018, kebanyakan lagu yang diiktiraf juri terdiri daripada karya berentak moden. Ia selari dengan penerbitan lagu-lagu oleh penyanyi seberang.

“Betul, kita juga perlukan karya-karya yang kena dengan cita rasa khalayak tempatan. Dalam masa sama, kita perlu bergerak sama laju dengan mereka. Jika tidak, kita akan ketinggalan,” katanya lagi.

Pulang dengan sebuah anugerah, mungkin ramai yang bertanya, apakah reaksi Ayda apabila namanya tidak melekat pada kategori popular.

Tersenyum menghadam persoalan tersebut, pelakon drama Cinta Bukan Kristal itu berpendapat, dia tidak mahu terlalu tamak dan mengakui cukup gembira menerima anugerah yang diterima bagi kategori terbaik.

“Biarpun tidak berjaya meraih sebarang anugerah bagi kategori popular, saya tetap gembira dan berterima kasih kepada peminat yang tidak pernah jemu mengundi.

“Tidak mengapalah. Satu anugerah pun sudah mencukupi. Hal ini kerana, nilai sentimentalnya sungguh tidak ternilai dan memberi efek luar biasa terhadap karier saya pada jangka masa panjang,” katanya.

Bercakap mengenai perancangan seni, Ayda kini sedang bercuti buat sementara waktu bagi memberi laluan terhadap perjalanan kerjaya muziknya.

“Saya sedang menyiapkan album sulung yang berkemungkinan akan dipasarkan pada tahun depan. Album ini akan dibahagikan kepada dua jenis muzik iaitu lagu berentak pop rancak dan balada.

“Uniknya, 10 lagu yang dimuatkan dalam album itu nanti merupakan lagu-lagu baharu. Saya memutuskan untuk tidak memuatkan single terdahulu kerana genre muzik yang diketengahkan dalam album ini adalah berlainan,” katanya menutup perbualan.