Namun, itulah yang diimpikan oleh pelakon, Ain Edruce yang secara terbuka menyatakan hasratnya untuk lebih fokus kepada keluarga apabila sudah berkahwin dengan bakal suaminya, Amirul Hafiz tidak lama lagi.

Biarpun namanya kini mulai popular tetapi, perkara tersebut tidak mengubah hasrat pemilik nama penuh Nurulain Edruce itu. Baginya, keluarga lebih penting dan sebagai permulaan selepas berkahwin dia mahu memastikan rumah tangga dibentuk dengan asas yang kukuh.

“Saya memang tidak sabar untuk mendirikan rumah tangga kerana sejak dahulu lagi, saya seorang wanita yang mementingkan hubungan kekeluargaan. Bukan bermaksud saya tidak pentingkan kerjaya, tetapi jika perlu membuat pilihan, saya akan pilih keluarga dahulu.

“Jika tiada aral melintang, mengikut perancangan saya akan bertunang selepas raya dan berkahwin sekitar hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui pada sesi rakaman sitkom JKK Raya di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Jodoh

Menurut Ain, sebenarnya mengikut perancangan awal sewaktu majlis merisik pada April lalu, mereka memilih Februari sebagai bulan perkahwinan namun selepas berbincang lebih lanjut, kedua-dua belah keluarga sepakat untuk mempercepatkannya pada tahun ini juga.

Kelihatan seperti tergesa-gesa mahu berkahwin, Ain menafikan dia terlalu terdesak untuk bergelar isteri sebaliknya bersyukur kerana semua urusan dipermudahkan oleh Allah.

“Ada juga yang menasihati supaya tidak bertunang dan terus kahwin sahaja namun, keluarga mementingkan adat jadi sebagai anak, saya turutkan apa yang terbaik.

“Memang pada mulanya mahu menetapkan bulan Februari tahun hadapan, tetapi keluarga memberitahu jika sempat selesaikan tahun ini juga adalah lebih baik,” katanya yang belum memutuskan tarikh dua buah majlis resepsi di Kuala Lumpur.

Wanita berusia 28 tahun itu juga memberitahu sudah bersedia untuk meninggalkan zaman bujang kerana pada usia sekarang dia sepatutnya sudah memiliki sekurang-kurangnya seorang anak.

Bersyukur dipertemukan dengan tunang yang juga seorang ahli perniagaan pada saat dirinya telah terbuka hati untuk berkahwin, jelas Ain, keputusannya untuk memperlahankan kerjaya seni selepas bergelar isteri tidak pernah dipengaruhi Amirul.

“Bakal suami seorang yang sangat memahami, jadi sebarang keputusan berkaitan dengan kerjaya seni dilakukan atas kehendak sendiri.

“Saya yakin rezeki Tuhan itu luas terutama selepas mendirikan masjid,” jelasnya lagi.

Bangga

Menyentuh tentang perkembangan kerjaya seni yang sudah mencecah usia enam tahun, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu meluahkan rasa bangga dengan pencapaiannya pada hari ini kerana mampu berjaya atas usahanya sendiri.

Masih bertahan mengatur jadual kerja tanpa pembantu peribadi atau syarikat pengurusan, hal tersebut membuatkan Ain tidak ralat namanya mengambil masa untuk dikenali oleh peminat.

“Saya sudah terbiasa uruskan diri sendiri, jadi jika ada pembantu akan membuatkan saya sedikit kekok. Namun begitu, mungkin pada masa hadapan saya akan mencari juga pembantu kerana sejujurnya, sangat susah menguruskan semua hal sendiri,” tuturnya.

Anak kelahiran Terengganu yang semakin popular dengan drama slot Akasia, 30 Pesanan Suara yang ditayangkan sepanjang Ramadan ini turut meluahkan hasrat mahu mengintai lebih banyak peluang membawa watak serius.

Katanya lagi, dia jarang mendapat tawaran watak-watak serius seperti dalam 30 Pesanan Suara kerana ramai penerbit menyangka dia tidak boleh membawa karakter di luar dunia lawak.

“Apabila membawakan karakter serius, saya boleh belajar lebih banyak teknik lakonan terutama dari segi penghayatan. Saya masih suka melakonkan watak komedi, tetapi sebagai pelakon, saya juga mencari variasi dalam tawaran yang diterima,” jelasnya lagi.

Bakal berkahwin tidak lama lagi, Ain Edruce mahu memperlahankan karier seni selepas bergelar seorang isteri kerana mahu fokus dengan kehidupan baharu.