Itu jawapan yang diberikan pelakon dan pengacara jelita, Ain Edruce saat diajukan soalan mengenai siapakah gerangan jejaka yang berdampingan dengannya dalam sekeping gambar yang dimuat naik di Instagramnya awal bulan lalu.

Kata pelaku seni yang mula dikenali menerusi drama Kekasih Paksa Rela itu lagi, dia mahu mengenali seseorang itu dengan sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya kena mengenali seseorang itu sebelum membuat keputusan ke fasa merisik atau bertunang.

“Kalau perangai dia betul-betul okey untuk saya, barulah merencana ke fasa seterusnya. Justeru, sekarang saya tidak mahu bercakap apa-apa lagi,” ujarnya yang mulai rapat enam bulan lalu setelah lapan bulan berkenalan.

Bagaimanapun, kata pemilik nama Nurulain Edruce ini, dia kini sudah bersedia untuk ke fasa seterusnya.

“Bagi saya, semua perempuan pun nak ke fasa seterusnya dan ada keinginan untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya sudah berusia 27 tahun, jadi perasaan untuk berkahwin sudah ada. Saya memang sudah bersedia tetapi masanya belum pasti bila. Apa pun doa yang baik-baik untuk saya. Insya-Allah, mana tahu tahun depan saya kahwin,” ujarnya.

Tanpa berselindung, dia yang juga membintangi drama Kenyalang I’m in Love memberitahu, dia sudah ada perancangan untuk ke fasa seterusnya.

“Saya ada merancang untuk fasa seterusnya. Tarikh dan bulan tidak tahu lagi. Semuanya sedang dalam perancangan,” jelasnya.

Berbicara mengenai adakah dia sudah bersedia untuk memperlahankan rentak dalam dunia hiburan sekiranya berumah tangga kelak. Ini jawapan yang diberikan.

“Mungkin dari segi lakonan, saya akan kurangkan sikit. Kalau nak berlakon pun akan memilih sedikit watak tetapi untuk bidang pengacaraan, saya akan teruskan seperti biasa,” jelasnya.

Menyentuh soal kerjayanya pula, Ain berkata, dia masih terlibat dengan pengacaraan untuk NTV7.

Selain itu, dia juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah telemovie iaitu Isteriku, Orang Gajiku bersama beberapa lagi barisan pelakon lain termasuk Kamal Adli, selain akan muncul dalam program lawak, Jenaka Kampung Kalut untuk TV3 sebagai Lola.