Ahmad Idham meluahkan rasa tidak puas hati berikutan filem terbaharunya, Hantu Wangan lakonan pelawak Achey dan Risteena Munim yang bakal ditayangkan pada Khamis depan hanya memperoleh 23 pawagam sahaja sebelum ini.

"Selepas beberapa kali membuat rayuan, jumlah panggung yang bakal menayangkan filem saya itu dinaikkan kepada 43 buah. Itupun saya berjaya mendapatkan enam panggung daripada jumlah keseluruhan atas dasar simpati pihak pawagam yang juga merupakan kenalan saya.

"Mereka memberikan alasan filem saya ini merupakan filem kecil dan saya tidak tahu pula kriteria sebegitu yang diambil kira untuk menentukan jumlah panggung bagi sesuatu filem," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Hantu Wangan di MM Cineplex, E-Curve di sini malam tadi.

Jelasnya, dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena terhadap perlaksanaan pengagihan jumlah panggung itu dan mahu SPRM menyiasat jawatankuasa skim itu yang didakwa tidak adil dalam membuat keputusan.

"Jika dilihat seperti ada yang tidak kena kerana mereka boleh mengubah keputusan secara tiba-tiba selepas saya membuat rayuan beberapa kali. Saya hanya mohon untuk 40 pawagam sedangkan kita mempunyai hampir 150 pawagam di seluruh negara.

"Sebenarnya isu ini sudah lama berlaku tetapi tiada penerbit filem yang berani menyuarakan pendapat mereka malah saya juga mohon Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk turut sama membuat pemantauan berhubung isu ini yang dilihat seakan-akan menindas penerbit filem tempatan sedangkan kerajaan melaksanakan skim itu untuk melindungi penerbit tempatan tetapi lain pula yang berlaku kerana kebanyakan penerbit tidak jelas dengan kriteria yang jawatankuasa itu tetapkan," ujarnya.

Katanya, dia dalam proses mengumpul maklumat sebelum membuat laporan kepada SPRM.

"Saya mahu lapor kepada SPRM bagi membuktikan apa yang dirasakan itu benar atau tidak. Oleh itu, biarlah undang-undang yang menentukannya," katanya.

Skim Wajib Tayang berperanan mempertimbangkan dan menerima mana-mana karya tempatan dan usaha sama untuk ditayangkan secara wajib di panggung wayang mengikut peraturan Finas. - K! ONLINE