Meskipun pertunjukan fesyen itu dijadualkan berlangsung sekitar pukul tiga petang, sudah ada pengunjung yang beratur panjang dua jam lebih awal demi menyaksikan Siti yang muncul di khalayak ramai buat pertama kali selepas melahirkan cahaya mata sulung, Siti Aafiyah Datuk Seri Khalid, pada 18 Mac lalu.

Ketibaan wanita berusia 39 tahun yang tampak semakin langsing di dalam persalinan baju kurung moden berwarna hijau zamrud itu disambut dengan tepukan gemuruh oleh peminat yang setia menanti.

Sempat menghadiahkan dua buah lagu iaitu Comel Pipi Merah dan Sesuci Lebaran buat pengunjung, Siti mengakui agak gementar untuk menyanyi secara langsung selepas hampir tiga bulan berehat.

“Risau juga sebenarnya untuk membuat persembahan kerana saya sudah lama tidak menyanyi sejak bersalin, namun demi peminat yang sanggup hadir hari ini, saya teruskan juga.

“Terima kasih buat peminat yang datang dan menjadikan pertunjukan fesyen koleksi raya Creacion by Siti Nurhaliza lebih meriah. Saya secara peribadi amat menghargai kedatangan anda semua,” katanya sewaktu memberi ucapan penghargaan di akhir pertunjukan.

Disiplin

Sewaktu sesi sidang media sedang berjalan, penyanyi nombor satu negara itu tersipu-sipu malu tatkala ditegur tentang kemampuannya untuk menurunkan berat badan dalam tempoh yang agak cepat.

Menurut Siti, sewaktu bulan kesembilan kehamilan, berat badannya mencecah sehingga 92 kilogram (kg) namun berjaya diturunkan sehingga 70kg buat masa sekarang.

“Masih banyak yang saya perlu kurangkan kerana jika mahu kerap muncul di kaca televisyen, saya perlukan berat ideal iaitu sekitar 59kg. Selama berpantang 44 hari, saya memang ikuti diet dengan betul, hanya memakan hidangan yang direbus serta tidak berminyak dan ada mengambil jamu untuk menguatkan semula badan.

“Hingga kini saya masih meneruskan amalan pemakanan sama dan terima kasih kepada Aafiyah kerana dia kuat menyusu, jadi secara tidak langsung membantu penurunan berat badan ibunya ini,” luahnya sambil tertawa.

Selain anaknya kuat menyusu, Siti turut mengakui bahawa kepenatan menjaga puterinya bagi tempoh tiga bulan pertama ini turut menyumbang kepada keadaan fizikalnya menjadi cepat susut.

Memberitahu Aafiyah sering berjaga malam dan hanya tidur pada waktu siang, beliau juga turut tidak dapat lena secukupnya dan sudah memahami mengapa ibu-ibu sering mendapat lebam di bawah mata.

“Saya sudah faham dan mengalami sendiri pengalaman tidak tidur malam dan lebam di bawah mata. Memang penat tetapi apabila melihat wajah si anak, semuanya hilang dan terasa berbaloi,” tuturnya penuh makna.

Puasa

Sambutan Ramadan tahun ini juga pastinya membawa makna berbeza buat anak kelahiran Pahang itu apabila kali pertama berpuasa sebagai ibu dan perlu menyusukan anak.

Kata Siti, beliau memang mengepam susu untuk dibuat stok kepada Aafiyah namun ia dilakukan mengikut permintaan si kecil dan tidak melakukannya dengan kerap kerana jadual kerjanya masih belum sibuk seperti dahulu.

Pernah memberitahu hanya akan kembali aktif dalam dunia seni selepas anaknya berusia enam bulan, Siti berkata, beliau bersyukur kerana setakat ini bekalan susu badannya belum pernah berkurangan.

“Puasa tahun ini mungkin akan jadi lebih mencabar apabila saya menyusukan anak sepenuhnya. Namun, saya tidak risau kerana dalam Islam juga membenarkan ibu-ibu yang menyusu untuk berbuka jika memudaratkan anak.

“Saya akan cuba setakat yang mampu. Jika bekalan susu tidak terganggu dan Aafiyah juga kenyang, rasanya tiada masalah untuk berpuasa seperti biasa. Yang penting saya perlu ambil makanan berkhasiat untuk berpuasa dan menyusukan anak,” terangnya satu demi satu.

Namun, sebagaimana rutin Ramadan terdahulu, Siti memang akan memperlahankan aktiviti seni dan fokus terhadap ibadah.

“Biasanya kami akan berkumpul bersama keluarga untuk berbuka puasa di rumah, sebelum sama-sama menunaikan solat berjemaah dan bertarawih,” katanya.

Bercakap tentang seni, Siti juga telah merakam sebuah lagu istimewa sempena Ramadan bertajuk Cinta Syurga duet bersama Khai Bahar dengan menggunakan melodi asal single sebelum ini, Comel Pipi Merah.

Jelasnya, pemilihan Khai Bahar selaku rakan duet dibuat kerana bakat dan juga populariti penyanyi itu yang semakin meningkat naik dalam kalangan peminat seni tanah air.

“Lagu ini sama seperti Comel Pipi Merah namun dalam bentuk zikir dan liriknya dibuat oleh Rozi Abdul razak sambil dibantu oleh Bazli UNIC untuk bahagian selawat.

Cinta Syurga adalah satu pembaharuan yang baik untuk lagu Comel Pipi Merah kerana boleh didengar oleh kanak-kanak dan juga dewasa,” katanya menyimpul perbualan.

Hampir tiga bulan berehat selepas melahirkan Siti Aafiyah, Siti Nurhaliza muncul buat pertama kalinya dalam persembahan di hadapan peminat dan berkongsi pengalaman bergelar seorang ibu.