Pun begitu, adat menjalani hidup yang penuh dengan cabaran terutamanya menjalar daripada kritikan negatif netizen, pemilik nama sebenar Suhairil Sunari itu turut berdepan dengan hal tersebut. Dia akur dengan tuntutan memegang status sebagai seorang selebriti popular.

Kata lelaki berusia 29 tahun itu, tindakan memuat naik foto dan video kemesraan bersama isteri dalam laman sosial Instagram adalah sekadar mahu menyimpan memori tersebut. Getusnya, tiada niat untuk menunjuk-nunjuk kebahagiaan dalam rumah tangga kepada orang ramai.

“Kehidupan saya seperti orang lain di luar sana. Rakam gambar bersama isteri dan bermesra dengan anak-anak. Cumanya, saya seorang selebriti dan mudah mendapat perhatian orang ramai.

“Kalau simpan sahaja foto atau video telefon, ia jadi terlalu banyak. Jadi, saya kongsikan sahaja di Instagram sebagai memori.

“Orang kata saya terlalu menunjuk kebahagiaan, namun apabila saya klik pada akaun yang meninggalkan komen tersebut, tiada pula gambar profil. Lalu saya sedar ia sengaja mencipta provokasi untuk menjatuhkan saya,” jelas Aeril ketika ditemui pada sidang akhbar teater Tanah Akhirku di Istana Budaya baru-baru ini.

DM nakal

Tidak menafikan menerima kiriman mesej (direct messege atau DM) berbaur nakal, dia bagaimanapun menjelaskan mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada si isteri untuk melakukan perkara waras, sesuai dengan status sebagai suami dan bapa.

“Ada yang menawarkan diri untuk berkahwin dengan saya, namun saya sifatkan itu sebagai satu gurauan daripada peminat. Saya tidak risau kerana Wawa percayakan saya.

“Benda tidak akan jadi kalau kita tidak layan. Pada tahap sekarang, saya lebih utamakan hubungan dengan Wawa serta anak-anak. Perkara seperti tempat tinggal, pendidikan dan lain-lain lagi, itu yang menjadi hal utama dalam fikiran saya,” katanya.

Ditanya sama ada isterinya pernah menyuarakan kebimbangan dirinya didekati mana-mana wanita dalam kalangan peminat, jawab Aeril: “Dia tidak pernah risau kerana amat percayakan saya. Malahan, dia tahu kata laluan semua akaun media sosial atau akaun bank saya. Saya pun tidak pernah berselindung dengannya.

“Orang kata, selepas lima tahun berkahwin kita lebih mengenal pasangan. Saya percayakan hal itu kerana sebelum ini hal kecil-kecil pun jadi bahan perbalahan. Sekarang tidak lagi kerana barangkali proses kematangan sedang atau sudah kami tempuhi.”

Ditanya tentang kehilangan kelibat Wawa yang seperti langsung tidak terlihat sama ada di kaca televisyen atau layar perak, Aeril menepis dakwaan kononnya dia menghalang si isteri daripada terus berkecimpung dalam dunia lakonan.

Jawabnya: “Saya tidak pernah menyuruh Wawa berhenti berlakon, namun ada menggalakkan dia berniaga. Apabila sudah ‘sedap’ berniaga, ada tawaran berlakon pun dia sudah tidak berminat.

“Berlakon memerlukan komitmen yang besar dan mungkin buat masa sekarang, dia rasa berniaga memberikannya lebih masa untuk melakukan perkara-perkara lain seperti menghantar anak ke sekolah dan memasak.

“Biarlah. Kalau dia sudah tidak berminat mahu berlakon. Biar saya sahaja berlakon kerana diakui, berlakon memang memenatkan. Jadi, biar saya sahaja yang penat.”

Tanah Akhirku

Melanjutkan bicara, Aeril berkata, media sosial memainkan peranan yang penting untuk memastikan kelangsungan atau kerelevanan seseorang artis. Dia percaya media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram mempunyai impak tersendiri.

“Orang fikir saya tidak serius di Twitter kerana suka ‘berkicau’ (tweet) perkara-perkara merapu. Apa boleh buat, saya seorang selebriti dan apa yang saya tweet mudah menjemput retweet daripada orang lain.

“Ada hal di Facebook yang tidak boleh dibawa di Twitter, takut terjadi ‘perang’ dan mencetuskan polemik dalam kalangan pengguna. Instagram pula tempat orang ingin tunjuk gambar cantik dan menunjuk kekayaan (tertawa),” ujarnya bersahaja dengan nada seloroh.

Bercerita tentang penglibatannya dalam teater Tanah Akhirku, Aeril memberitahu, ini kali kedua dia beraksi di pentas berprestij Istana Budaya. Kali pertama ialah menerusi teater Lela Manja pada tahun 2016.

“Bagaimanapun rasa gementar itu masih sama. Namun, kali ini bekerja dengan tenaga kerja anak muda perasaan teruja jadi sedikit lebih. Saya berharap dapat menimba pengalaman daripada orang muda yang amat bersemangat dalam melakukan kerja.

“Saya menyahut cabaran anak-anak muda berjiwa besar ini untuk bersama mereka dan berharap naskhah ini mendapat sambutan ramai,” katanya.

Melanjutkan bicara, ujar Aeril, dia bersetuju untuk memegang watak utama, Tengku Khalis kerana ingin membantu produksi yang kebanyakannya dikerjakan oleh muka-muka baharu.

“Awalnya saya sudah tolak tawaran ini kerana terikat dengan komitmen lain. Namun, apabila mengetahui mereka belum ada pelakon utama, saya terpanggil untuk mengisi kekosongan memandangkan komitmen terdahulu sudah terlaksana.

“Lagipun, pementasan akan berlangsung di Istana Budaya, jatuh pula pada bulan kemerdekaan dan menceritakan tentang masyarakat majmuk di Malaysia. Jadi rasanya tidak salah untuk menerima tawaran ini,” katanya.

Dijentik persoalan tentang kemungkinan khidmatnya ditawarkan pada harga lebih tinggi, Aeril menafikan hal tersebut, namun memberitahu bayaran yang diterimanya cukup sekadar berbaloi.

Tambahnya lagi, harga yang diterima juga sesuai dengan kemampuannya selain menyedari tangga kedudukannya dalam industri.

Tanah Akhirku yang diarahkan oleh Naque Ariffin dan Aloeng Silalahi turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Mei Fen Lim, Angeline Tan, Erma Fatima, Izzue Islam dan Nina Nadira.

Teater berkenaan yang dipersembahkan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Cina dan Inggeris akan dibantu dengan penyediaan sari kata untuk lebih difahami penonton. Tiket-tiket berharga RM40 hingga RM350 sudah mula dijual menerusi http://airasiaredtix.com.