Kebanyakannya yang terdiri daripada wanita mendakwa, majalah berkenaan tidak sepatutnya mengangkat Adira dan Izreen sebagai penghias muka depan. Pelbagai kata negatif dilemparkan kepada dua artis berkenaan dan ada yang mengancam untuk memboikot majalah tersebut.

Adira berkahwin dengan ahli perniagaan itu pada tahun 2016, manakala Izreen menjadi isteri kedua kepada pemuzik bernama Ude pada tahun lalu.

Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 27, yang ditemui pada majlis pelancaran klip video artis di bawah Rocketfuels di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini bagaimanapun enggan ambil peduli kecaman tersebut hanya disebabkan statusnya sebagai isteri kedua kepada Datuk Adnan Abu atau Datuk Red.

Sebaliknya, tahun ini ibu kepada Anggrek, satu tahun itu memberitahu, dia hanya mahu memberi fokus kepada perkembangan kerjaya seni.

KOSMO!: Adira dikecam gara-gara muncul sebagai penghias muka depan majalah terkenal bersama pelakon Izreen. Apa komen Adira?

Adira: Saya sudah melalui pelbagai kontroversi dan kecaman, jadi sudah lali. Orang cakap apa pun saya sudah tidak kisah. Sebab jika dilayan akan sakit hati, jadi lebih baik buat tidak kisah. Lama-kelamaan mereka yang bercakap itu akan diam sendiri.

Anda tahu atau tidak mengapa dikecam?

Saya kira ia kerana tajuk majalah dan status kami sebagai isteri kedua. Namun biasalah manusia, tetap akan mencari salah untuk diperkatakan.

Adakah anda kesal dengan tajuk majalah yang dipilih sehingga anda menerima kecaman?

Bukannya saya minta tajuk begitu dan tiada kuasa menentukan tajuk sesebuah majalah. Barangkali ia salah satu cara pemasaran untuk melariskan majalah.

Namun, secara peribadi saya tidak kisah dengan tajuk yang dipilih iaitu Naluri Isteri Nombor 2. Tiada salah kerana faktanya memang saya isteri kedua. Apa pun, saya faham isu poligami cukup sensitif dalam kalangan masyarakat untuk diperkatakan secara terbuka.

Mungkin anda ada memberi nasihat kepada Izreen kerana terlebih dahulu melalui kontroversi yang sama?

Memang saya terlebih dahulu melalui perkara yang sama dilalui oleh Izreen sekarang ini sewaktu awal perkahwinan. Cuma ketika sesi fotografi, kami hanya berbual kosong, tidak pula dia meminta nasihat. Walaupun Izreen dihentam teruk oleh orang ramai, saya tahu dia seorang wanita yang kuat dan tabah.

Bagaimana dengan kehidupan keluarga?

Alhamdulillah anak semakin besar dan bijak. Saya cuba menjalankan tugas sebagai ibu sebaik mungkin walaupun sibuk dengan perniagaan dan kerjaya seni. Jika diberi rezeki, saya tidak kisah untuk menambah bilangan cahaya mata. Namun, tahun ini fokus saya hanya untuk kerjaya seni dahulu.

Boleh kongsi perkembangan terbaharu kerjaya anda?

Saya baru melancarkan single berjudul Sembunyi ciptaan Alyph Sleeq pada awal Februari lalu. Memandangkan agak lama tidak muncul dengan sebarang lagu baharu, jadi inilah masanya untuk kembali aktif.

Lagu Sembunyi agak berbeza, walaupun ia lagu balada tetapi diselitkan juga elemen R&B. Harap peminat akan suka dan terus menyokong kerjaya saya.