ADEEP tidak berhasrat meninggalkan kerjaya sepenuh masa sebagai guru vokal, sebaliknya selesa kedua-dua bidang yang diceburi bergerak seiring.

Adeep yang berjaya membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM30,000 menerusi program tersebut kini mengajar di Akademi Suara yang dimiliki oleh penyanyi Mark Adam.

Kata pemilik nama sebenar, Abdul Mutalib Nahar itu, dia akan kerugian sekiranya memilih untuk meninggalkan kerjaya tetap itu semata-mata demi mengejar cita-cita untuk bergelar penyanyi solo.

“Saya sudah mengajar di Akademi Suara selama dua tahun dan tidak pernah terfikir untuk berhenti. Hal ini kerana kedua-dua bidang yang saya ceburi mempunyai manfaatnya yang tersendiri.

“Secara tidak langsung saya boleh mengasah bakat yang dimiliki dengan mengajar, malah sudah selesa bekerja di akademi itu,” jelasnya ketika ditemui di The Port, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kongsi Adeep, kerjaya nyanyian yang diceburi tidak mempunyai tempoh masa tertentu, malah dia sendiri tidak tahu sehingga bila akan terus bernyanyi.

Bagaimanapun, dia tidak menolak sekiranya suatu hari nanti memilih untuk berhenti menyanyi dan memberikan fokus kepada mengajar vokal.

“Saya sendiri tidak tahu sampai bila akan menyanyi dan apabila tiba masanya nanti, sudah tentu saya akan memilih untuk mengajar demi kelangsungan hidup.

“Buat masa ini, saya selesa melakukan kedua-duanya dan sentiasa memastikan ia bergerak seiring selain bijak membahagikan masa,” ujar bapa kepada dua anak yang juga merupakan bekas anggota kumpulan The Fabulous Cat dan Muhibbain itu.

Turun padang

Bercerita berkenaan perjalanan kerjaya seninya, Adeep memberitahu, dia bakal muncul menerusi dua buah single terbaharu dalam masa terdekat.

Kata pelakon drama Adnan Sempit The Series itu, dia bersyukur apabila melihat sambutan yang diterima menerusi lagu ciptaannya bersama Mulah dan Rafikoncept berjudul Izinkan.

“Sebenarnya lagu itu sudah dikeluarkan agak lama dan ia menjadi hit semula selepas saya menyanyikannya di pentas GGV.

“Bagaimanapun, saya sudah mengolah sedikit susunan muzik lagu itu kepada genre pop balada. Jika tiada halangan, dua single terbaharu ciptaan kami berjudul Antara Cinta dan Ghairah serta Kalimah Cinta Teragung pula bakal menyusul selepas ini,” jelasnya sambil memberitahu, lagu yang diciptanya berdasarkan pengalaman sendiri.

Ketika ditanya pelancaran kedua-dua single terbaharunya dilakukan pada masa sama, Adeep mempunyai pandangan tersendiri.

Hal ini kerana, kedua-dua single itu mempunyai sasaran pendengar yang berbeza tetapi dia akan berbincang dengan pihak pengurusannya terlebih dahulu untuk melihat kesesuaian sebelum membuat keputusan.

“Jika diikutkan, saya mahu melancarkan kedua-dua single pada masa yang sama tetapi mungkin lagu Kalimah Cinta Teragung akan dilancarkan terlebih dahulu.

“Saya juga mempunyai perancangan untuk mengeluarkan album penuh pada penghujung tahun ini dan mahu turun padang sendiri mendekati peminat apabila melancarkan album itu kelak,” ujarnya mengakhiri bicara.