Dicalonkan dalam beberapa kategori utama iaitu Filem Terbaik - Drama, Pengarah Filem Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dalam Filem – Drama (Lady Gaga), dan Pelakon Lelaki Terbaik dalam Filem - Drama (Bradley Cooper), Gaga bagaimanapun mencuri tumpuan apabila menang Lagu Original Terbaik menerusi lagu Shallow.

Namun, Gaga kalah dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik kepada aktres terbilang, Glenn Close hasil lakonannya dalam filem The Wife.

“Saya sangat gembira untuk kemenangan Glenn Close. Dia sememangnya seorang legenda dan layak menang,” tulis Gaga melalui laman Twitter miliknya.

Mencipta kejutan, filem biografi kumpulan rock British, Queen berjudul Bohemian Rhapsody diangkat sebagai filem Filem Terbaik - Drama.

Kemenangan tersebut sekali gus mengenepikan saingan naskhah hebat lain termasuk Black Panther, BlacKkKlansman, If Beale Street Could Talk dan A Star Is Born.

Bukan itu sahaja, pelakon utama filem berkenaan yang menterjemah peranan sebagai vokalis legenda Queen, Freddie Mercury iaitu Rami Malek membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik dalam Filem - Drama.

“Terima kasih kepada Freddie Mercury kerana memberikan kebahagiaan ini kepada saya untuk dikenang sepanjang hayat. Saya sayang kamu, lelaki kacak. Kemenangan ini untuk dan kerana kamu,” ujar Malek ringkas ketika memberi ucapan saat menerima anugerah.

Ketika bertemu media usai menerima trofi berkenaan, Malek dengan rendah diri meluahkan, dia hanya sebahagian kecil daripada kisah Queen yang sudah terbuku dalam lipatan sejarah.

“Saya hanyalah bahagian kecil untuk menceritakan kisah ini. Bagaimanapun, ditemani Bryan May dan Roger Taylor pada malam ini membuatkan saya berasa sedikit besar. Ini adalah segala-galanya buat saya.

“Terima Kasih Freddie Mercury dan trofi ini saya akan ‘melekat’ dalam genggaman saya untuk tempoh yang lama demi melihat masa depan lebih cerah,” ujar Malek yang sebelum ini cukup dikenali menerusi siri Netflix, Mr. Robot.

Tumpuan

Selain Bohemian Rhapsody yang pulang bergaya menerusi dua anugerah, filem drama komedi, Green Book menang tiga trofi menerusi anugerah Filem Komedi atau Muzikal Terbaik, Pelakon Filem Pembantu Lelaki Terbaik (Mahershala Ali) dan Lakon Layar Terbaik.

Sementara itu, filem Roma pulang dengan dua trofi; Filem Bahasa Asing Terbaik dan Pengarah Filem Terbaik (Alfonso Cuarón). Drama televisyen, The Assassination of Gianni Versace: American Crime Story pula cemerlang dengan dua kemenangan iaitu Drama Siri Televisyen Terbaik dan Pelakon Lelaki Drama Siri Televisyen Terbaik (Darren Chris)

Antara momen yang paling mencuri tumpuan semestinya sewaktu Lady Gaga yang disebut-sebut bakal menang trofi Pelakon Filem Wanita Terbaik terpaksa berputih mata apabila kemenangan berpihak kepada pelakon veteran, Glenn Close.

Cemerlang membawa watak Joan Castleman dalam filem The Wife, Close ternyata terkejut saat namanya diumumkan sebagai pemenang. Ketika berjalan menuju ke pentas utama untuk menerima trofi, wanita itu sempat berhenti untuk memeluk Gaga dan seperti membisikkan sesuatu terhadap pelantun lagu Bad Romance itu.

“Saya rasa sudah melalui banyak perkara yang memberi pengalaman. Sebagai wanita, kita mempunyai anak-anak, suami jika kita cukup bertuah dan orang penting lain.

“Kita juga perlu mencari kepuasan peribadi. Kita harus mengikut haluan mimpi-mimpi kita,” ujar Close ketika memberi ucapan.

Bagi kategori lelaki pula, seperti diduga kemenangan berpihak kepada pelakon hebat, Christian Bale menerusi lakonan dan ‘transformasi fizikal’ mengagumkannya dalam filem Vice.