Daripada minggu pertama hingga ke keempat, dia antara peserta yang sering dipuji baik daripada segi vokal mahupun persembahannya oleh juri tetap iaitu penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir.

Malah, para penonton juga amat mengagumi suara emas milik anak kepada penyanyi legenda, Saleem ini sehingga ada segelintir daripada mereka yang meramalkan Syafiq Farhain bakal bergelar juara untuk program berkenaan.

Dipuji dan diramalkan sebegitu, adakah ia memberikan tekanan kepadanya untuk mengekalkan momentum untuk setiap minggu hingga ke peringkat akhir? Ini jawapan yang diberikan daripada mulut lelaki yang mula dikenali menerusi lagu Sayang Maafkan Aku ini.

“Saya terharu dengan pujian yang diberikan kepada saya. Siapa yang tidak terharu apabila menerima pujian atau komen positif daripada juri lebih-lebih daripada juri yang sangat hebat.

“Tekanan untuk kekalkan momentum mesti ada kerana kita berfikir macam mana nak melakukan persembahan terbaik untuk minggu-minggu yang mendatang. Kita kena banyak berfikir bagi mendapatkan idea tetapi tidaklah sampai ke tahap yang tertekan,” ujarnya.

Menyambung bicara, jejaka yang bertugas sebagai anggota bomba ini memberitahu, program itu banyak memberikan impak yang positif terhadap kariernya sebagai seorang penyanyi.

“Sejak saya menyertai Big Stage, banyak perkara yang saya belajar termasuk daripada penggunaan pentas dan komunikasi dengan penonton menerusi persembahan.

“Selain itu, program ini juga dapat menguatkan mental terutamanya apabila kita nak mendengar komen yang diberikan juri. Apabila juri memberi komen, automatik netizen juga akan memberi komen sama ada ia baik atau buruk,” jelasnya.

Adakah Big Stage merupakan satu platform bagi dirinya untuk terus mengukuhkan nama dalam industri muzik? Ringkas jawapan yang diterjemahkan jejaka berusia 24 tahun ini.

“Bagi saya, Big Stage tidak semestinya kukuhkan nama anak seni dalam industri muzik kerana untuk kukuhkan nama, seseorang anak seni itu perlu ada kualiti diri.

“Walaupun kita menyertai sesebuah program dan menjadi juara sekali pun, ia tidak menjamin nama kita akan kukuh kerana yang penting adalah kualiti diri,” jelasnya.