Tidak cukup dengan itu, ada juga yang mengkritik dan meminta Pekin memahami terlebih dahulu teknik penceritaan agar karya yang dihasilkan lebih difahami, sekali gus jalan cerita tersebut menjadi lebih menarik.

Diasak dengan kritikan hebat daripada pelbagai pihak, Sensasi Bintang menghubungi Pekin bagi meminta dirinya tampil memberi penjelasan mengenai naskhah keduanya berjudul KL Wangan yang mula ditayangkan di pawagam bermula 21 Disember lalu.

Ternyata, pelakon dan juga pengarah berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu tenang menjawab satu persatu persoalan yang diajukan biarpun ada getar di dalam hatinya.

“Saya tidak kisah orang mahu mengkritik atau review filem arahan saya tetapi jangan sampai membunuh filem itu.

“Bagi saya ini tidak adil, berilah ia ‘bernafas’ sekurang-kurangnya dua minggu di pawagam. Sama ada mendapat sambutan atau tidak, sekurang-kurangnya saya berpuas hati,” katanya.

Terus menyambung bicara, Pekin memberitahu, dengan beberapa kekangan yang ada, agak sukar untuk melahirkan filem yang benar-benar memberi kepuasan kepada penonton setanding karya antarabangsa.

“Kos keseluruhan filem ini RM5 juta termasuk strategi pemasaran. Ia bukan suatu jumlah besar bagi filem aksi sebenarnya jika dibandingkan dengan filem bergenre luar negara seperti Fast and Furious yang menelan kos menjangkau RM300 juta hingga RM500 juta.

“Bagaimanapun, kita tetap boleh menghasilkan Kl Wangan meskipun dengan kos yang dikatakan agak kecil demi menghiburkan orang ramai khususnya pengikut filem tempatan. Dengan jumlah begitu pastinya kita bekerja dengan serba kekurangan. Ini menyebabkannya ada sedikit kelompangan,” katanya tegas.

Pemilik nama Mohd. Iznan Ibrahim, 36, turut memberitahu, dia tidak pernah meletakkan filemnya sebagai sebuah karya hebat malah mengakui dirinya masih baru dalam lapangan pengarahan.

“Saya tidak pernah cakap KL Wangan adalah sebuah naskhah yang bagus dan sedar masih baru dalam bidang pengarahan.

“Silap dan kekurangan ini datang daripada diri saya sendiri, namun sekiranya menerima review membina, saya akan lebih bersemangat untuk berusaha. Kita belajar daripada kesilapan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, naskhah tersebut telah melalui fasa-fasa tertentu sebelum ditayangkan kepada umum dalam memastikan ia benar-benar berkualiti.

Berkongsi harapan, penerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) menerusi filem Mat Moto itu berharap agar masyarakat tidak terpengaruh dengan pandangan negatif yang dilemparkan sesetengah pihak.

“Saya mengharapkan orang ramai jangan menarik diri daripada menonton KL Wangan setelah membaca komen negatif di laman sosial sebaliknya pergi menonton filem itu dan menilainya sendiri,” ujarnya yang akan cuba sedaya upaya untuk mengangkat karya itu kembali.