Anugerah Telenovela 2018 yang merupakan kerjasama antara Yayasan Pembangunan Buku Negara dan GCE Capital itu menerima sebanyak 46 pencalonan membabitkan adaptasi novel yang dijadikan siri televisyen, telefilem serta filem dan ditayangkan pada tahun lalu.

Pengerusi Penganjur Anugerah Telenovela 2018, Hasan Hamzah memberitahu, pihaknya menambah satu lagi kategori penganugerahan karya adaptasi menerusi telefilem berbanding hanya siri televisyen dan filem sebelum ini.

“Jika dilihat, terdapat pertambahan pencalonan pada kali ini berbanding sebelumnya. Malah, pada tahun ini juga kaedah pencalonan dihadkan kepada drama rantaian, telefilem dan filem yang diadaptasikan daripada novel.

“Kita turut berdepan kesukaran bagi memilih pemenang pada kali ini kerana didapati berlaku peningkatan dari segi persembahan teknikal dan jalan cerita,” katanya pada sidang akhbar anugerah tersebut di KLCC baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, syarat utama bagi pencalonan anugerah itu ialah novel perlu dicetak di Malaysia dan mendapat Nombor Buku Piawai Antarabangsa (ISBN) daripada Perpustakaan Negara untuk diadaptasi ke siri televisyen.

Selain itu, karya yang diadaptasi juga perlu disiarkan di pawagam atau mana-mana stesen televisyen di negara ini.

“Buat masa ini, kita hanya menekankan karya yang ditayangkan di kaca televisyen dan pawagam sahaja.

“Kita tidak menerima karya adaptasi yang disiarkan menerusi laman YouTube tetapi ia mungkin akan dipertimbangkan untuk masa depan kerana karya seperti itu perlu berada dalam kategorinya tersendiri,” katanya sambil memberitahu, pihaknya turut memberikan tiga Anugerah Telenovela Antarabangsa menerusi penganjurannya kali ini.

Juri profesional

Bercerita berkenaan konsep penjurian, Hasan berkata, sebanyak 39 kategori bakal diadili oleh tujuh juri profesional.

Juri tersebut termasuklah pelakon dan pengarah, Sabri Yunus dengan Profesor Dr. Asiah Sarji bertindak selaku ketua juri.

“Baki tujuh lagi kategori iaitu Novel Popular, Telenovela Popular, Filem Popular, Pelakon Lelaki Telenovela Popular, Pelakon Wanita Telenovela Popular, Pelakon Lelaki Filem Popular dan Pelakon Wanita Filem Popular akan diadili menerusi undian.

“Kaedah penjurian mengambil kira pelbagai aspek, antaranya pembaharuan yang dilakukan menerusi karya yang diadaptasi bagi mengekalkan perhatian khalayak terhadap karya tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Asiah memberitahu, proses penjurian pada kali ini agak sukar kerana mutu penerbitan yang dipertandingkan telah meningkat berbanding sebelum ini.

Hal ini kerana terdapat beberapa stesen televisyen mendapatkan novel yang mempunyai kandungan kuat dari segi mesej dan jalan cerita.

“Matlamat utama anugerah ini juga untuk menggalakkan novelis menghasilkan novel bermutu dan dengan cara itu memudahkan proses adaptasi ke skrin dengan lebih baik.

“Malah, secara tidak langsung ia turut mengangkat mutu penerbitan itu sendiri kerana menggunakan novel sebagai sumber skrip selain mempunyai plot penceritaan, logik dan mesej komprehensif yang sangat ketara,” ujarnya.

Antara drama yang tercalon menerusi kategori Telenovela Popular ialah Hero Seorang Cinderella, Mencintaimu Mr. Photographer, Red Velvet, Awak Suka Saya Tak dan Titian Cinta.

Bagi kategori Filem Popular pula ialah Wanita Terindah, Bisik Pada Langit, Tombiruo, Kimchi Untuk Awak dan Jibam.

Fattah Amin, Syafiq Kyle, Zul Ariffin, Alvin Chong dan Ashraf Muslim pula tercalon menerusi kategori Pelakon Lelaki Telenovela Popular, manakala Nur Fazura, Hannah Delisha, Farah Nabilah, Neelofa dan Emma Maembong turut tercalon bagi Pelakon Wanita Telenovela Popular.

n Anugerah Telenovela bakal berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Sabtu ini

n Sebanyak 46 kategori dipertandingkan menerusi anugerah tersebut antaranya Telenovela Popular, Telefilem Popular dan Filem Popular