Rombongan disertai penggiat seni veteran terdiri daripada artis, karyawan, budayawan dan wartawan hiburan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 11 pagi pada 6 Februari lalu.

Program tersebut merupakan inisiatif daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi peluang kepada barisan artis veteran untuk mengerjakan ibadah umrah seperti diumumkan pada Ramadan tahun lalu.

Usaha murni tersebut kemudian direalisasikan hasil gabungan kerjasama daripada Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Yayasan Perdana Ummah dan Yayasan Mustika Kasih.

Pegawai Eksekutif Yayasan Perdana Ummah, Datuk Rizal Mansor berkata, pihaknya bersyukur dengan kepulangan rombongan tersebut ke tanah air, selain berbangga dapat merealisasikan hajat setiap artis yang terlibat.

“Kami di Yayasan Perdana Ummah cuma pemudah cara kerana idea ini datang daripada Perdana Menteri. Jadi, kami sangat bersyukur kerana dapat menguruskan rombongan istimewa ini.

“Insya-Allah, selepas ini kami akan menghantar satu lagi rombongan ke Tanah Suci. Kemungkinan pada bulan Mac atau April depan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Antara yang terlibat dalam rombongan tersebut ialah Hamid Gurkha, Zaiton Sameon, Aida Agil, Shima, Sahara Yaakob, Zaleha Hamid, Sulaiman Yassin, pengarah drama, Hamid Abidin dan penulis novel terkenal, Baharuddin Kahar.

Sementara itu, pelakon Hamid Gurkha meluahkan, kunjungan umrah tersebut merupakan kali ketiga buat dirinya tetapi tetap berasa teruja dan bangga kerana dapat kembali menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Alhamdulillah, syukur dengan segala nikmat diberikan Tuhan. Terima kasih kepada Perdana Menteri yang membuka peluang kepada golongan artis veteran seperti kami untuk mengerjakan ibadah umrah,” ujarnya yang kali terakhir mengerjakan umrah pada tahun 2014.

Bagi penyanyi popular, Aida Agil yang popular menerusi lagu Segalanya Pasti, dia memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Tuhan kerana membuka pintu rezeki untuknya ke Tanah Suci meskipun berdepan keadaan kesihatan yang kurang memuaskan.

Aida berangkat ke sana dalam keadaan berkerusi roda kerana kaki kirinya yang patah masih belum sembuh sepenuhnya selepas terjatuh pada tahun lalu.

“Panggilan ini sangat istimewa kerana dari segi fizikal memang saya tidak kuat untuk melakukan banyak aktiviti. Namun, saya bersyukur Tuhan mendengar doa saya dan melancarkan segalanya dan saya dapat mengerjakan tawaf dan mencium kain Kaabah.

“Terlalu banyak doa yang saya panjatkan di sana. Salah satunya saya mohon agar diberi kekuatan dan kesihatan seperti sediakala, supaya dapat berjalan seperti biasa,” ujarnya sebak.

Sementara itu, Baharuddin Kahar, 71, yang merupakan penulis novel Senjakala (yang turut menjadi buku teks sejarah bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia dari tahun 1988 hingga 1992) turut berpeluang menyertai rombongan tersebut selepas namanya dipilih oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

“Ini merupakan kali pertama saya mengerjakan umrah. Selain beribadat, program ini juga memberi peluang untuk kami beramah mesra dan mengeratkah ukhwah.

“Jadi saya sangat berterima kasih andai ia dapat diteruskan pada masa depan supaya semua penggiat seni veteran yang lain dapat sama-sama ke sana,” ujarnya yang kini masih aktif menulis novel.