Arkady Babchenko, 41, meninggal dunia dalam ambulans selepas isterinya menemuinya dalam keadaan berlumuran darah di rumah mereka dan pembunuhan lelaki itu disyaki mempunyai kaitan dengan tugasnya.

Babchenko, merupakan bekas seorang tentera ketika perang  dengan Chechen. Mendiang kemudian menjadi wartawan perang terkenal di Rusia tetapi terpaksa meninggalkan tanah airnya kerana bimbang dengan keselamatan dirinya kerana mengkritik dasar Rusia di Ukraine dan Syria.

Babchenko turut dikecam ahli-ahli politik prokerajaan Rusia kerana banyak membuat komen di media sosial termasuk kejadian pengeboman Rusia Aleppo dalam perang Syria.

“Versi pertama, pembunuhan wartawan tersebut disyaki mempunyai kaitan dengan tugasnya sebagai wartawan,” kata Ketua Polis Kiev, Andriy Kryshchenko dalam satu sidang akhbar.

Pihak berkuasa Ukraine kemudian mengeluarkan lakaran wajah lelaki yang mereka syaki sebagai pembunuh Babchenko. Lelaki itu berusia sekitar 40-45 tahun, berjanggut perang dan memakai topi.

Dua tahun lalu, Pavel Sheremet, seorang wartawan Belarusia yang terkenal kerana kritikannya terhadap kepimpinan negara asalnya dan persahabatannya dengan pemimpin pembangkang Rusia, Boris Nemtsov, terbunuh dalam letupan bom kereta di pusat Kiev. - Reuters