Beijing berdiam diri mengenai nasib Presiden Interpol, Meng Hongwei yang juga Timbalan Menteri Keselamatan Awam China sejak pegawai-pegawai Pe­rancis mendedahkan pada Jumaat lepas bahawa dia dilaporkan hilang selepas pulang ke tanah air dari Perancis, bulan lalu.

Kes Hongwei boleh mencemarkan usaha Beijing untuk mengetuai organi­sasi antarabangsa tetapi ia juga memberi tamparan kepada Interpol yang bertanggungjawab mencari orang hilang. Pasukan polis antarabangsa itu berpangkalan di Lyon, Perancis.

Isterinya, Grace memberitahu pembe­rita di Lyon bahawa dia bimbang selepas menerima mesej teks daripada suaminya berserta emoji pisau.

Suruhanjaya Pemantauan Nasional Chi­­­na yang mengendalikan kes rasuah penjawat awam, memecah ke­buntuan awal semalam apabila mengeluarkan ke­nyataan ringkas menyatakan, Hongwei kini disisat kerana melanggar undang-undang negara melibatkan ra­suah.

Tidak lama selepas itu, Interpol mendedahkan bahawa pihaknya menerima peletakan jawatan Hongwei berkuatkuasa serta-merta.

Ini merupakan kes kehilangan indivi­du berprofil tinggi terbaharu di China di mana sebilangan pegawai tinggi, bi­lionair, malah, artis terkenal turut hilang berminggu-minggu atau berbulan-bulan dan hanya muncul di mahkamah untuk pendakwaan,itupun jika mereka muncul kembali. – AFP