Dannette Giltz tidak mengetahui dia hamil sehingga dia dimasukkan ke hospital dan melahirkan bayi kembar tiga.

“Saya mula merasa sakit pada bahagian perut, saya beranggapan ia disebabkan batu karang kerana saya pernah menghidap masalah tersebut sebelum ini,” katanya.

Wanita itu menjalani ujian air kencing dan diberitahu bahawa dia sebaliknya hamil. Dannette juga diberitahu bahawa dia bakal melahirkan anak kembar.

Wanita itu dan pasangannya, Austin Giltz sudah memiliki dua orang anak.

Dalam masa beberapa minit selepas memasuki bilik bersalin, wanita itu selamat melahirkan tiga bayi baru-baru ini iaitu dua bayi perempuan dan seorang lelaki. Austin menamakan mereka Gypsy, Nikki dan Blaze.

Salah seorang anak pasangan tersebut, Ronnie berkata, dia sebelum ini berdoa supaya dikurniakan dua adik perempuan dan seorang adik lelaki.

Dalam pada itu, Austin berkata, dia masih terkejut dengan apa yang berlaku walaupun selepas mereka meninggalkan hospital. – Agensi