Munda Birsi, 57, terlupa dia memasak menggunakan periuk tekanan tersebut selepas keluar memotong jerami di laman belakang rumahnya.

Satu jam kemudian, wanita itu bergegas ke dapur dan sedang mengalihkan periuk tersebut dari dapur yang menyala tetapi wisel tersebut tiba-tiba tercabut akibat tekanan tinggi dan menembusi bahagian tengkorak menerusi mata kirinya.

Petugas kecemasan tidak dapat melihat serpihan sebesar sebutir peluru itu dari luar tetapi pakar bedah berjaya menariknya keluar tidak lama kemudian.

Pasukan doktor diketuai pakar bedah, Dr. Ashish Joy Soren di Hospital Pakar Bhagwan Mahavir Medica Super di sini berjaya menyelamatkan nyawa mangsa dalam satu pembedahan rumit tetapi gagal memulihkan mata kirinya.

“Ia agak sukar untuk menarik keluar wisel tersebut kerana pergerakan kasar boleh merosakkan tisu-tisu di sekelilingnya. Pembedahan ini berjaya dan kami dapat menyelamatkan nyawa mangsa walaupun dia hilang mata kirinya,” kata Soren.

Kemalangan itu berlaku ketika Birsi sedang memasak di rumahnya di daerah Khunti dalam negeri Jharkhand pada 4 September lalu. Dia tidak mendengar bunyi wisel tersebut disebabkan bunyi kuat mesin pemotong jerami. – Agensi